[VIDEO] 'Mohon sedekahkan Al-fatihah pada suami saya,' isteri sayu niat pasangan pulang ke rumah tak kesampaian selepas nahas di LPT2


  • Tular
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Che Rosli Che Mat (gambar kecil) meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan kendiri di Kilometer 379.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada Jumaat.

"Mohon doa dan sedekahkan Al-Fatihah buat suami saya." Itu luahan sayu seorang wanita, Teh Hayati Ismail, apabila suaminya yang dalam perjalanan pulang ke Segamat, Johor, terkorban dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 379.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), laluan Ajil-Bukit Besi dekat Terengganu pagi Jumaat.

Teh Hayati memuat naik hantaran pilu di laman Facebook beberapa jam selepas menerima berita duka mengenai pemergian suami tercinta, Che Rosli Che Mat, 57, yang memandu sendirian dari Kelantan sebelum kenderaan dinaikinya terbabas di lokasi kejadian.

"Suami saya, Che Rosli bin Che Mat telah kembali ke rahmatullah hari ini, 11 April 2025, hari Jumaat. Kepada yang mengenali arwah, mohon doa dan sedekahkan Al-Fatihah. Jika ada kesalahan, mohon dimaafkan," tulisnya. 

BACA LAGI : JKNP nafi dakwaan kes bayi kembar hilang dilarikan doktor palsu di Hospital Kuala Lipis

BACA LAGI : [VIDEO] Suami isteri rugi RM11,000, terpedaya modus operandi terbaharu peragut pura-pura kemalangan di Setia Alam

Mangsa dipercayai hilang kawalan ketika memandu menyebabkan kenderaan tersebut melanggar penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam longkang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi dan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Siasatan awal mendapati mangsa bertolak dari kediamannya di Kelantan kira-kira pukul 8.30 pagi menuju ke Segamat, Johor untuk bertemu isterinya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu. 

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu, Terengganu untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya 

Difahamkan, arwah Che Rosli sempat menghubungi isterinya untuk memaklumkan bahawa dia dalam perjalanan pulang ke Segamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram