BEBERAPA calon Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) di Johor berjaya menepati ramalan selepas mempertahankan kerusi masing-masing dengan melihat kepada undian rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya. (SPR)
Keputusan di Parlimen Pagoh menyaksikan bekas Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN) memperoleh kemenangan dengan 24,986 undi, menewaskan Iskandar Shah Abd Rahman, (PH) 14,979 undi dan Razali Ibrahim, (BN) 14,426 undi.
Selain itu, keputusan di Parlimen Parit Sulong pula menyebelahi parti BN yang diwakili Datuk Seri Noraini Ahmad dengan undian sebanyak 25,740 manakala Datuk Seri Khaled Nordin diumumkan sebagai pemenang di Parlimen Kota Tinggi dengan 25,410 undian menewaskan dua pencabar Ridhwan Rasman (PN) dan Onn Jaafar (PH).
Keputusan di Parlimen Sembrong pula menyaksikan kemenangan berpihak kepada parti Barisan Nasional (BN) yang diwakili veteran, Datuk Seri Hishammudin Hussein dengan 22,572 undi, mengalahkan dua lagi pencabarnya, Hasni Abas, (PH) 11,692 undi dan Joe Aziz (PN) 6,666 undi.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong juga secara rasminya diumumkan sebagai pemenang di Parlimen Ayer Hitam dengan 17,172 undi.
Kemenangan itu adalah berpunca selepas dia menewaskan dua lagi pencabar, Sheikh Omar Bagharib Ali (PH) 15,575 undi dan Muhammad Syafiq A. Aziz, (PN) 10,343 undi.
Sementara itu, pertembungan tiga penjuru antara PN, BN dan PH di Parlimen Pengerang pula menyaksikan wakil BN, Azalina Othman Said diumumkan sebagai pemenang dengan 21,738 undian.
Dalam pada itu, kemunculan semula bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Nur Jazlan Mohamed pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) gagal mengembalikan Parlimen Pulai ke tangan Barisan Nasional (BN) selepas lawannya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub kekal menjadi Ahli Parlimen Pulai selepas menang majoriti 20,989 undi.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian sejak tiga penggal lalu meraih 23,201 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Isa Ab Hamid, 17,443 undian.
Parlimen Labis dimenangi oleh Pang Hok Liong (PH) dengan undi sebanyak 16,133, menewaskan dua lagi calon lain Chua Tee Yong (BN) 13,300 undi dan Alvin Chang Teck (PN) Kiam 5,312 undi.
Daripada 25 kerusi yang dipertandingkan di negeri itu, PH berjaya menawan 14 kerusi sementara BN berada di kedudukan kedua selepas menang di sembilan parlimen dan dua kerusi pula milik PN. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram