Johari Ghani rampas Titiwangsa


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Johari memperoleh sokongan majoriti pengundi Parlimen Titiwangsa pada PRU15. — Bernama

BARISAN Nasional (BN) memenangi kerusi panas Parlimen Titiwangsa sekali gus merampas semula kawasan itu daripada penguasaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

BN yang mempertaruhkan calon heavyweight dari Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menang dengan majoriti 4,632 undi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu menyekat misi Pakatan Harapan (PH) yang mempertaruhkan calon dari Amanah, Khalid Abdul Samad yang pernah menyandang kerusi itu sembilan tahun lalu pada PRU13.

Johari memenangi 25,042 undi manakala Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah memperoleh 20,410 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Rosni Adam memperoleh 14,518 undi manakala calon Pejuang, Khairuddin Abu Hassan ketinggalan dengan 888 undi.

Di Bandar Tun Razak, Pengerusi Majlis PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili PH tersungkur dengan angka tidak rasmi 180 undi.

Kerusi itu dimenangi penyandangnya, Kamarudin Jaffar yang kini bertanding di bawah bendera PN.

Sementara itu, penyandang kerusi Lembah Pantai, Fahmi Fadzil memenangi kerusi itu untuk penggal kedua dengan undi tidak rasmi 35,053.

Pencabarnya, Datuk Ramlan Askolani (BN) memperoleh 21,420 undi, Fauzi Abu Bakar (PN) (19,070 undi) dan Dr Noor Asmah Mohd Razalli (Pejuang) (804 undi). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram