Tun M hilang wang deposit, tewas di Langkawi


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Tun Mahathir yang kini bertanding di bawah tiket Pejuang hanya meraih sebanyak 4,566 undi sahaja.

SELEPAS 60 tahun bergiat aktif dalam arena politik tanah air, bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal muncul sebagai calon pilihan dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Penyandang kerusi Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidak berhasil mendapat perhatian selepas keputusan rasmi menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah mendahului kiraan undi.

Calon PN itu meraih majoriti sebanyak 25,463 undi setakat pada PRU15.

Manakala, Tun Mahathir yang kini bertanding di bawah tiket Pejuang hanya meraih sebanyak 4,566 undi sahaja.

Bukan hanya bekas perdana menteri keempat itu sahaja ketinggalan, malah anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir turut tewas pada PRU kalini menerusi keputusan rasmi dengan hanya 3,144 undi sahaja di Parlimen Jerlun.

Dr. Abd Ghani Ahmad yang bertanding di bawah tiket PN, dilihat menang majoriti 20,456 di kerusi tersebut.

Wakil PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut gagal mengekalkan untuk terus menyandang kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu dengan hanya mendapat undi sebanyak 21,408.

Setiausaha PKR yang sebelum ini menjadi calon kegemaran penduduk kerusi Parlimen berkenaan seperti hilang taring dan dikalahkan oleh Roslan Hashim yang bertanding di bawah tiket PN.

Roslan yang dikenali sebagai Cikgu Roslan itu mendapat 34,469 sekali gus mencipta majoriti 13,061 undi.

Sementara itu, wakil Parti Amanah di kerusi Parlimen Pokok Sena pula menyaksikan Datuk Wira Mahfuz Omar tidak berjaya mengekalkan kerusinya selepas mempertahankannya selama enam penggal.

Mahfuz Omar dikalahkan dengan perbezaan 31,751 undi dari calon PN, Datuk Ahmad Yahya yang menang dengan jumlah undi sebanyak 52,275. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram