DEBARAN kian terasa apabila berbaki lima hari sahaja lagi, sebelum kerajaan baharu ditubuhkan menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jika sebelum ini tempoh masa pengundian ditetapkan selama sembilan jam, namun PRU15 memberi kelainan apabila ia dipanjangkan selama satu jam bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Bagi Semenanjung, waktu mengundi ditetapkan ialah bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang, manakala Sabah dan Sarawak akan bermula seawal pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang.
Pada masa sama, setiap pengundi diberi panduan tentang masa keluar mengundi yang digalakkan iaitu selama dua jam.
Tangkap layar semakan daftar pemilih di laman MySPR Semak.
Namun, dikhuatiri sekiranya wujud suatu stigma tentang masa keluar mengundi dua jam itu sebagai tempoh terhad buat seseorang pengundi.
Puad Zarkashi
Mengulas mengenai perkara itu, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memberi contoh bahawa, seseorang individu di Semenanjung mendapat ketetapan untuk keluar mengundi pada pukul 2 petang hingga 4 petang.
Jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu, tidak timbul sebarang masalah sekiranya individu terbabit mahu keluar mengundi sehingga 6 petang.
"Cadangan waktu mengundi itu bagi mengelakkan kesesakan. Terpulang kepada pengundi untuk mengundi pukul berapa kerana ia tiada had.
"Tempoh mengundi tamat pukul 6 petang. Tapi kalau individu tersebut nak mengundi pukul 6.01 petang memang tak bolehlah," katanya kepada Majoriti.
Zamani Ibrahim
Selain itu, Zamani Ibrahim berkata, SPR perlu memastikan proses pilihan raya berjalan baik selain tidak membataskan waktu mengundi.
Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) itu berkata, sekiranya masa mengundi dihadkan, ia akan memberi kesusahan dan kepayahan kepada pengundi yang tidak dapat hadir.
Calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding di kerusi Parlimen Tampin itu berkata, SPR juga disaran untuk membuat peraturan yang memberi kemudahan kepada pengundi.
"Waktu mengundi adalah tidak terhad. Tempoh dua jam itu hanya sebagai panduan.
"Sekiranya hanya dihadkan dua jam, risau ada yang tidak sempat mengundi kerana menguruskan perkara lain," jelasnya.
Saipolyazan
Sementara itu, Saipolyazan M Yusop menggalakkan pengundi untuk keluar mengundi pada awal pagi, berikutan dijangkakan cuaca hujan pada sebelah petang.
Calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar itu berkata, perkara tersebut juga perlu diwar-warkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi pengumuman di media arus perdana.
"Ini termasuk media cetak dan media penyiaran yang menyatakan waktu panduan kepada rakyat keluar mengundi," katanya.
Pada masa sama, Saipolyazan berkata, pihaknya juga akan menyediakan kemudahan dan peralatan kepada pengundi bagi menghadapi cuaca hujan.
Bukan itu sahaja, beliau berharap supaya kes Covid-19 tidak menunjukkan peningkatan secara mendadak, sekali gus menimbulkan ketakutan rakyat untuk keluar mengundi.
"Kita harus ambil maklum bahawa jumlah pengundian yang tinggi dapat memberi keputusan lebih jelas tentang mandat kerajaan yang dipilih," katanya.
Ahmad Faizal
Senada dengannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mencadangkan SPR supaya memberi panduan lengkap kepada rakyat, termasuk waktu mengundi sebenar tidak kira sama ada di media sosial dan media massa.
Calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di kerusi Parlimen Tambun itu berkata, perkara itu penting, memandangkan semangat pengundi ketika ini dilihat berkobar-kobar untuk memperbaharui kerajaan yang dilaksana hanya dalam tempoh lima tahun sekali.
"Apatah lagi, dijangka terdapat peningkatan Covid-19, selain negara perlu berdepan dengan musim banjir ketika ini. Jadi, 19 November ini merupakan satu-satunya peluang kepada mereka untuk turun mengundi," katanya.
Tambah Ahmad Faizal, majikan juga disaran untuk membenarkan para pekerja bercuti beberapa hari sebelum dan ketika hari pengundian.
Menyifatkan pelaksanaan mengundi sebagai satu tanggungjawab dan jihad, beliau juga tidak mahu rakyat memilih parti yang salah.
"...sehingga negara kelak akan diperintah oleh orang yang salah dalam tempoh masa terlalu lama, " ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan Jumaat dan Sabtu ini diisytiharkan sebagai hari pelepasan am bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRU15.
Bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan-kerajaan negeri boleh mengisytiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.
SPR menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan tempoh berkempen selama 14 hari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram