SESIAPA sahaja calon yang berpotensi memperoleh kemenangan untuk Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) perlu menunaikan janji manifesto mereka.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Laksamana, Jalan Peel, Kuala Lumpur, Muslim Ismail yang turut memberitahu bahawa dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.
"Harapan saya, sesiapa sahaja yang memperoleh kemenangan dalam PRU15 pada 19 November depan, manifesto mereka perlu ditunaikan.
"Kami tidak mahu pisang berbuah dua kali. Manifesto perlu ditunaikan sebab itu janji kepada rakyat," katanya kepada Majoriti.
Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Laksamana, Muslim Ismail.
Menurut Muslim lagi, penduduk juga menaruh harapan yang tinggi untuk calon sentiasa turun padang dan bukan ketika waktu berkempen sahaja.
Jelasnya, mereka juga mahukan calon yang mudah didekati penduduk.
"Kita mahukan calon yang bila kita nak jumpa, senang. Bila kita nak hubungi, pun boleh. Bukan orang luar yang jauh dari kita," katanya.
Parlimen Titiwangsa menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan Khalid Abd Samad (Pakatan Harapan), Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Barisan Nasional), Dr Rosni Adam (Perikatan Nasional) dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Gerakan Tanah Air).
Johari dalam misi merampas kembali kerusi di Parlimen Titiwangsa yang sebelum ini disandang Datuk Seri Rina Mohd. Harun.
Rina pula selaku penyandang bertanding di Parlimen Sepang di atas tiket Perikatan Nasional (PN). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram