PRU15 tak kena masa, tugas penjawat awam berganda — MB Selangor


  • Politik
  • Isnin, 14 Nov 2022

Amirudin Shari menyifatkan waktu PRU15 semasa banjir akan membebankan penjawat awam.

RAMAI penjawat awam akan terbeban dengan tugas berganda ekoran Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang diadakan semasa musim banjir, kata Menteri Besar Selangor.

Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penjawat awam seperti pegawai daerah dan pegawai yang bertugas selaku pengurus PRU dalam masa sama perlu mengurus bencana banjir.

Disebabkan itu katanya, waktu PRU15 yang diadakan ini adalah satu kesilapan besar.

"Begitu juga pegawai keselamatan seperti polis dan tentera perlu memikul tugasan kawalan keselamatan dalam negeri, menyelamat mangsa bencana dan pilihanraya.

"Malah rumah Ketua Setiausaha Negara turut dinaiki air di Putrajaya pada Ahad lalu," katanya menerusi akaun Twitter miliknya pada Isnin.

Jelasnya, sekolah pula dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan dalam masa sama sebagai pusat mengundi.

Sedangkan katanya, Jabatan Meteorologi meramalkan jumlah hujan yang tinggi dengan potensi banjir meningkat dari minggu kedua November hingga Mac 2023.

Amirudin turut membidas Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana menyokong PRU15 diadakan dalam tempoh ini.

"Hishammuddin menyangkal kenyataan saya bahawa pembubaran Parlimen dan PRU waktu ini adalah keputusan silap dengan menyatakan saya telah bersiap awal. Kenyataan balas beliau ternyata amat dangkal dan lemah," katanya.

Amirudin berkata, Menteri Pertahanan itu tidak menunjukkan keprihatinan terhadap penjawat awam yang berdepan bebanan kerja bertambah.

"Malah semua parti politik sudah membuat persiapan terutama Umno dan kem Zahid (Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), yang mahu PRU15 berlaku awal. Namun dia masih mahu mempertahankan Zahid," tambah Amirudin.

Terdahulu Hishammuddin memberitahu Amirudin telah membuat persiapan untuk PRU15 sebelum senarai pencalonan diumumkan.

Hishammuddin berkata, kenyataan Amirudin tidak sepadan dengan tindakannya selepas dinamakan sebagai calon kerusi parlimen PKR Gombak dan kenyataannya untuk menangguhkan PRU sebagai satu kesilapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram