Gangguan LRT tidak jejas kempen Wee Ka Siong


  • Politik
  • Ahad, 13 Nov 2022

Ka Siong beramah mesra dengan pelanggan di sebuah pasar raya di Ayer Hitam bersama Exco Johor dan ADUN Yong Peng Ling Tian Soon (kanan).

KESIBUKAN jadual kempen Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) serta perlu memantau gangguan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya merupakan dua perkara perlu dipikul oleh Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menteri Pengankutan itu berkata, kempen tetap diteruskan dan fokusnya tidak akan terganggu kerana masalah LRT tersebut.

“Saya sentiasa berhubung dengan pasukan saya di Kuala Lumpur selain menerima perkembangan terkini tentang masalah itu.

“Ujian sistem Kawalan Kereta Api Automatik (ATC) oleh Rapid Rail dijadualkan dari pukul 11 malam pada Jumaat dan berakhir sekitar 5 pagi Sabtu. Ujian itu dipantau oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat.

PRU15

“Matlamat utama ujian ini untuk memastikan kestabilan dan keselamatan sistem sebelum memulakan operasi penuh,” jelasnya kepada media pada Sabtu.

Pasukan Rapid Rail mengendalikan 24 buah kereta api sepanjang keseluruhan laluan sebanyak 37 stesen.

Sesi ujian yang dilakukan pada Sabtu menguji kesemua 38 buah kereta api di laluan dengan jarak lima minit antara setiap tren.

Melihat kepada sesi ujian itu, Ka Siong yakin proses baik pulih perkhidmatan akan pulih dalam tempoh masa terdekat.

Ka Siong merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam, Johor.

Pada masa sama Ka Siong yang turun padang beramah mesra dengan penduduk Ayer Hitam berkata, lokasi tersebut antara pengeluar utama ayam segar dan telur negara.

Memandangkan memiliki kelebihan itu, bekalan dan harga barangan di kawasan terbabit sentiasa stabil.

“Terdapat lebih 120 syarikat besar dan kecil di kawasan itu mengeluarkan ayam dan telur untuk pasaran tempatan dan eksport.

“Ayer Hitam sahaja memenuhi kira-kira 15 peratus dan 5 peratus daripada telur dan ayam pedaging negara,” jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram