
BERBEKALKAN wang simpanan RM15,000 dan 15 orang pembantu, calon Bebas, Mohd Nor Izzat Mohd Johari mempertaruhkan nasib dalam perebutan kerusi Parlimen Tanjung Malim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bekas guru itu berkata, dia tidak mempunyai wang yang banyak untuk mencetak baju-T, poster atau bahan kempen lain, manakala 'tenteranya' terdiri daripada anak-anak kawan, kenalan dan pengikut media sosial.
Dia menjadikan medium online untuk mengadakan ceramah bagi meraih seramai mungkin pengundi.
Lebih dikenali sebagai Cikgu Izzat, lelaki berusia 37 tahun itu menganggap penyertaannya sebagai calon dalam PRU15 sebagai satu proses pembelajaran.
"Sebelum ini, saya tidak tahu bahawa seseorang perlu berbelanja begitu banyak untuk kempen," keluhnya.
Namun, Cikgu Izzat berkata, dia tidak menjadikan itu sebagai alasan dan tetap bersemangat tinggi ketika meneruskan kempennya.
Dia juga turun bertemu pengundi secara fizikal di kawasan setempat seperti pasar, pekan dan medan selera.
"Saya Cikgu Izzat, tolong sokong saya," demikian caranya memperkenalkan dirinya kepada orang ramai sambil menghulurkan risalah kecil kepada mereka.
Di atas kertas itu antara lain tertera nama, umur, gambar, logo serta nombor calonnya.
Aktivis pendidikan dan sosial itu berkata, dia memutuskan untuk bertanding di Tanjung Malim kerana bandar itu amat bermakna buatnya.
Selain meluangkan masa empat tahun mengikuti pengajian komunikasi visual pendidikan seni di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di situlah dia bertemu jodoh dengan isterinya, Syazwani Abdul Malik.
Cikgu Izzat yang dilahirkan di Kuala Lumpur berkata, Tanjung Malim tidak begitu berkembang sepanjang zamannya di UPSI dari 2007 hingga 2011.
"Saya mahu menjadikan bandar ini sebagai hab pendidikan dan destinasi pelancongan," tambahnya.
Dia mengakui dirinya menjadi calon underdog dalam kalangan pesaing lain untuk kerusi itu yang ditandingi penyandang yang juga Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang.
Cikgu Izzat turut berdepan tentangan daripada Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Perikatan Nasional), Dr Amir Hamzah Abdul Rajak (Gerakan Tanah Air) dan seorang lagi calon Bebas, Datuk Jamaluddin Mohd Radzi.
Menurut Cikgu Izzat lagi, dia amat berterima kasih kepada keluarganya atas sokongan dan pemahaman mereka.
"Tidak kira betapa padatnya jadual saya dan tidak kira di mana saya berada, saya akan sentiasa pulang ke rumah dua kali seminggu untuk meluangkan masa bersama mereka," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram