PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sebanyak 30 syarikat konsesi lebuh raya bersetuju untuk memberikan tol percuma pada 18 dan 19 November depan.
Ismail Sabri berkata, tol percuma itu akan bermula dari pukul 12.01 pagi Jumaat hingga 11.59 malam Sabtu.
"Tol percuma itu melibatkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1 sahaja yang dianggarkan sekitar 90 peratus dari jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya," katanya.
Untuk rekod, hari mengundi akan dijalankan di seluruh negara pada 19 November depan.
Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan tarikh 18 dan 19 November sebagai hari pelepasan am.
"Ia adalah untuk memberi ruang kepada pengundi pulang ke destinasi masing-masing turun mengundi.
"Saya tidak mahu seorang pun dilarang mengundi. Bagi negeri Sabah dan Sarawak, Kerajaan-kerajaan negeri boleh mengisytiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing," katanya
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan November diawalkan pada 17 November depan.
Jelasnya, bagi persara pula, bayaran pencen akan diawalkan pada 14 November. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram