Undi awal, usah ragu kredibiliti SPR — Penganalisis


  • Politik
  • Isnin, 14 Nov 2022

Anggota polis antara golongan yang bakal melakukan pengundian awal pada Selasa. — Gambar hiasan

PENGUNDI pos sama ada di dalam dan luar negara merupakan kumpulan pertama menentukan pembentukan kerajaan apabila terlibat dalam proses pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Selasa.

Antara golongan layak melakukan undi pos adalah tentera, polis, petugas media, petugas pilihan raya dan pegawai agensi kerajaan.

Sementara itu, kategori pengundi pos luar negara adalah warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara, pelajar di luar negara dan pasangan serta penjawat awam yang bertugas di luar negara dan pasangan mereka.

Screenshot 2022-10-26 221832

Meskipun sistem undi pos sudah dilaksanakan selama beberapa penggal, masih ada lagi segelintir pihak yang khuatir akan kehilangan kertas undi, selain wujudnya pengundi hantu.

1814630

Jeniri Amir

Mengulas mengenai perkara itu, Prof Madya Dr Jeniri Amir meyakini bahawa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi perhatian serius terhadap keselamatan undi awal supaya kredibiliti agensi yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pilihan raya itu tidak dipertikaikan.

Penganalisis politik itu berkata, segala tuduhan kononnya keselamatan undi pos itu tergugat merupakan percubaan untuk mempertikai keupayaan SPR ketika mengendali pilihan raya.

"Rakyat dan pengundi tidak harus meragui sebarang langkah yang diambil SPR, sebaliknya agensi itu memastikan semuanya berjalan lancar sesuai dengan tanggungjawab dan amanah yang diberi.

"Kalau ada yang ragu, saya rasa ia tidak berasas dan harus diketepikan, berikutan ini bukan pertama kali agensi itu mengendalikan proses-proses berkaitan pilihan raya termasuk undi awal," katanya kepada Majoriti.

Tambah Jeniri Amir, kebimbangan rakyat yang berada di luar negara adalah dari segi masa, yang mana mereka takut kertas undi tidak tiba di Malaysia pada tarikh sepatutnya.

Namun, katanya, rakyat perlu menyerahkan kepada kearifan dan kebijaksanaan pihak kedutaan yang mengendalikan undi pos di luar negara.

"Ia selaras dengan tuntutan atau proses ditetapkan SPR mengikut akta tertentu," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar tidak menolak kemungkinan keputusan pilihan raya akan mengalami masalah, sekiranya rakyat menganggap SPR sebagai tidak telus.

Screenshot 2022-11-14 150257

Rusdi Omar — NSTP

Selepas PRU14, Rusdi berkata, masyarakat lebih mementingkan sikap amanah seseorang ketika menjalankan tugas.

Namun, dari segi keselamatan mengenai proses undi awal, katanya, setiap wakil parti politik dan SPR sudah tentu akan turun padang bagi membuat pemantauan.

"Kalau nak kata wujud pengundi hantu, saya tidak nampak perkara itu.

"Apa yang lebih penting, rakyat perlu beri kepercayaan kepada SPR manakala agensi itu perlu bebas. InsyaALLAH, keselamatan pengundian awal akan terjaga.

"Kalau di luar negara nak betul-betul telus kita buat pejabat kedutaan," tambahnya.

SPR menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram