Pelihara warisan, ikut cara Melaka uruskan rumah pusaka


  • Massa
  • Selasa, 01 Nov 2022

Pihak Perzim mewartakan rumah-rumah tersebut kepada kerajaan negeri Melaka. — Gambar Hiasan

RUMAH tradisional Melayu merupakan warisan yang semakin lama hilang ditelan zaman dek kerana masyarakat kini lebih gemar mendirikan kediaman mengikut konsep barat ataupun moden.

Jika adapun rumah tradisional tersebut, kebanyakannya adalah peninggalan warisan dari ibu bapa ataupun nenek moyang sesebuah keluarga itu yang diberikan kepada pewarisnya.

Rumah pusaka warisan yang ada di kawasan-kawasan kampung atau pedalaman itu boleh mengalami dua situasi sama ada masih tersergam cantik di atau dibiarkan dalam keadaan hampir menyembah bumi.

Berdasarkan laporan Majoriti sebelum ini, terdapat beberapa pemilik rumah yang menjaga rumah pusaka mereka dengan mengubahnya menjadi homestay, sambil masih mengekalkan keunikan tradisi pada reka bentuk binaannya.

Manakala, senario kedua pula menyaksikan kediaman yang diwarisi dibiarkan usang sehingga mendatangkan masalah kepada penduduk setempat seperti sarang dadah dan lokasi pilihan makhluk halus.

Daripada membiarkan rumah warisan jadi sebegitu rupa adalah lebih baik untuk mengurusnya sambil boleh memelihara rumah tradisional Melayu daripada tenggelam dek ditelan zaman.

Seperti yang dilakukan oleh Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), organisasi tersebut berjaya menyelamatkan dan menguruskan beberapa rumah pusaka yang ada di negeri bersejarah itu.

Sejarawan yang juga bekas Pengurus Besar Perzim, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, bahawa mereka mewartakan rumah-rumah tersebut kepada kerajaan negeri Melaka.

“Macam di Melaka sewaktu saya jadi pengurus muzium dulu. Rumah kayu Melaka kami jadikan rumah-rumah warisan. Kami wartakan kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri jaga rumah-rumah itu dibawah Muzium Melaka. selepas itu kami tak bagi rumah itu roboh. Masa saya pegang dulu ada peruntukan yang kami lakukan untuk rumah-rumah itu,” katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, pihak Perzim akan memilih rumah yang masih utuh dan peliharanya daripada menjadi roboh dan dimakan anai-anai.

Tambahnya, mereka juga akan meminta izin terlebih dahulu kepada pemilik rumah jika harta warisan mereka itu boleh diwartakan ataupun sebaliknya.

“Di Melaka banyak yang terjaga sebab di bawah pewartaan negeri tapi kami tak dapat nak buat untuk setiap rumah. Kami ambil rumah yang segak. Kami ada prosedur itu dia.

“Begitu kami buat di Melaka. Cuma tak dapatlah nak betulkan dari papan ke batu. Penghuni masih boleh duduk, negeri tak miliki rumah itu. Perjanjian itu hanya nak bagi kekalkan warisan,” tambahnya.

Sementara itu, beliau turut memberi pendapatnya mengenai erti sentimental sebuah rumah pusaka yang mana memberi makna berbeza bagi setiap individu.

“Rumah pusaka adalah tempat membesar. Seperti saya rumah itulah tempat saya kahwin. Nilainya itu tempat kita membesar. itu semua kenangan.

“Rumah pusaka itu juga membantu kita ingat jasa mak ayah. Rumah pusaka juga adalah nilai warisan yang mana harta pusaka untuk orang tiada rumah,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram