MENYENTUH tentang bab peninggalan rumah pusaka, tidak dinafikan kebanyakan waris tidak mengetahui mengenai harta dari ibu bapa mereka.
Masalah tersebut menjadi besar sehingga ada yang membiarkan rumah pusaka dibina cantik menjadi reput asbab ketiadaan pewaris ataupun individu bertanggubjawab untuk menguruskan peninggalan tersebut.
Seperti yang dilaporkan Majoriti sebelum ini, pengalaman dari seorang paranormal yang menceritakan banyak rumah-rumah kosong terbiar tanpa penghuni sehingga menjadi sarang dadah dan 'port' makhluk halus.
Justeru itu, adalah sangat penting untuk memahami pemilikan hartanah rumah pusaka supaya warisan tersebut boleh diselamatkan dan dimiliki oleh individu yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, sebelum menyelesaikan pengurusan rumah pusaka itu, adalah lebih baik untuk memahami faktor anak-anak ataupun pewaris tidak mengetahui mengenai pemilikan harta warisan tersebut.
Menjawab persoalan tersebut, perunding harta pusaka, Nur Zairee Zainal Abidin berkata, timbul masalah sebegitu adalah disebabkan pewaris tidak tahu mengurus.
Senario tersebut berlaku kerana anak-anak ataupun pewaris harta rumah pusaka tersebut tidak tahu bagaimana untuk membahaginya dengan betul dalam erti kata lain tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang ilmu faraid.
“Bagi saya pewaris tak tahu macam mana nak urus. Satu lagi mungkin harta pusaka itu tidak dibahagi dengan cara betul.
“Mereka tidak buat pembahagian faraid dan mungkin kesibukan dalam kalangan ahli keluarga itu penyebab ia tidak tidak diuruskan.
“Biasanya harta yang tidak dikendali ini kerana masing-masing tak dapat hak milik lagi. Jika tiada hak milik, siapa yang nak uruskan. Selesaikan isu pemilikan semula seperti pecah tanah dan pembahagian faraid,” katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, faktor ketiadaan wang juga boleh menjadi sebab urusan isu pemilikan terbengkalai.
Hal ini kerana, untuk menguruskan perkara itu memerlukan wang bagi mengupah perunding dan membayar yuran berkaitan pemilikan harta tersebut.
“Nak uruskan kena ada perunding. Selepas itu kena bayar yuran mengenai tanah dan rumah. Semua itu memerlukan duit.
“Oleh itu, sebaiknya, sebagai persediaan awal adalah penting pemilik menguruskan perkara itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zairee juga memberitahu bagaimana untuk menyelesaikan isu pengurusan rumah pusaka itu dalam kalangan pewaris.
“Mula-mula mereka kena daftar harta semua. Selepas itu tak kisah lah nak guna Amanah Raya atau apapun. Buat legasi dan pembahagian itu. Sama ada nak buat menerusi hibah,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram