KAYU baharu, ganti cat lama dan pelbagai lagi pembaharuan antara janji-janji manis seorang individu bergelar 'wakil rakyat’ kepada pemilik rumah pusaka usang di Kuala Selangor, Selangor.
Demikian kisah kediaman itu yang secara tidak sengaja ditemui pengasas Persatuan Kebajikan Warisan Melayu Selangor, Rosli Idris ketika bersiar-siar bersama isterinya.
Pada awalnya, Rosli menyangka ia hanya sebuah rumah pusaka yang tidak berpenghuni tetapi telahannya meleset sama sekali apabila ia sebenarnya didiami empat sekeluarga.
Keadaan rumah yang bergoyang amat tidak sesuai dijadikan tempat berteduh bagi seorang pesakit lumpuh namun apakan daya dengan gaji isteri sebagai pekerja kilang tidak dapat menampung kos bagi membaik pulih kediaman mereka itu.
“Saya jalan di kawasan Kuala Selangor, secara tak sengaja nampak rumah usang. Bila saya singgah masuk ke laman rumah itu, saya beri salam dan tuan rumah keluar, di dalam pula suaminya terlantar sakit tidak boleh bergerak.
“Sebaik melangkah masuk perasaan sedih menerpa apabila melihat keadaan rumah itu, papan bergoyang dan rasanya kalau saya henjut sedikit dah boleh jatuh. Memang uzur sangat,” katanya kepada Majoriti.
Saat bertanya sama ada keluarganya pernah menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak termasuk wakil rakyat, wanita itu hanya mampu menggelengkan kepalanya.
“Wanita itu mengadu mengenai pengalamannya yang dijanji akan ditolong oleh seorang wakil rakyat.
“Saya tanya berkenaan wakil rakyat di situ tiada membantu atau datang melawat. Jawapannya memang langsung tiada, sebelum ni ada singgah dan janji nak baiki tapi lepas tiga tahun menunggu tiada apa-apa tindakan diambil,” jelasnya.
Tidak berfikir panjang, persatuan berkenaan berjaya membaik pulih rumah keluarga itu dengan hasil sumbangan sebanyak RM20,000 dari ahli persatuan dan orang ramai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram