Diwarisi abang sulung kurang mampu, tergamak adik-beradik biar rumah pusaka menyembah bumi


  • Massa
  • Jumaat, 21 Okt 2022

Pelbagai realiti kehidupan dan nasib rumah pusaka, diantaranya terbiar kosong hingga menimbulkan pelbagai masalah setempat. — Gambar Hiasan

PUSAKA adalah harta peninggalan si mati dalam kalangan ahli keluarga yang kebiasaannya diwarisi. Biasanya rumah adalah harta pusaka yang tinggi nilai sentimentalnya kerana di situlah tersimpan segala memori suka duka bersama insan tersayang.

Namun bagaikan suatu senario yang biasa dilihat di mana-mana, ada saja rumah yang terbiar kosong kerana beberapa sebab termasuk rumah pusaka.

Pelbagai faktor menyebabkan situasi itu, ada diwarisi anak-anak yang telah berhijrah ke bandar selepas kematian kedua ibu bapa mereka, sesetengah pula kerana saudara yang dinamakan untuk menjaga hartanah itu tidak berminat tinggal di kediaman berkenaan.

Selain itu, turut ditemui kediaman yang diwarisi golongan kurang mampu hingga menyebabkan hartanah itu dibiarkan usang sedangkan ada saudara mara yang mampu untuk membantu membaikinya.

Dalam situasi lain, kediaman yang terbiar kosong terlalu lama boleh menimbulkan keadaan yang berbeza apabila ia sering menjadi lokasi pilihan makhluk halus. Ia diakui pencari hantu atau kumpulan paranormal yang gemar mencabar diri untuk mengesan aktiviti mistik di kediaman yang ditinggalkan atau memiliki kisah seram tersendiri.

Berdasarkan situasi di atas, yang manakah lebih dekat dengan diri anda dan keluarga atau mungkin jiran dan kenalan anda. Majoriti mengupas isu ini bagi mengetengahkan realiti kehidupan dan nasib rumah pusaka yang ada diantaranya terbiar kosong hingga menimbulkan pelbagai masalah setempat.

Rumah diwarisi ahli keluarga kurang mampu

TERGAMAK, itu antara perkataan yang keluar dari mulut pengasas Persatuan Kebajikan Warisan Melayu Selangor, Rosli Idris saat mengimbau kembali detik ketika membantu membaik pulih sebuah rumah pusaka di Kuala Selangor.

Sehingga kini Rosli masih tidak dapat membayangkan adanya adik-beradik yang sanggup mengabaikan saudara sedarah dagingnya dan membiarkan rumah pusaka milik ibu bapa terbiar begitu sahaja.

Menurutnya, keluarga yang dibantu pada 2016 itu merupakan rumah paling usang yang pernah dikendalikan persatuan itu dan proses membaikpulih mencecah sehingga RM20,000.

WhatsApp Image 2022-10-14 at 10.14.06 PM

Rosli (kanan) turut menjelaskan bahawa persatuannya juga memberi sumbangan pada asnaf dan orang yang kurang berkemampuan, selain membantu membaiki rumah.

“Bila saya melangkah masuk, terus rasa sedih. Ketika itu, suami tuan rumah dalam keadaan sakit, tidak boleh bergerak, macam lumpuh.

“Sebab nak kumpulkan wang sumbangan baikpulih rumah, saya pun siarkan di akhbar mengenai rumah itu dan dari situ adik-beradik keluarga itu sedar akan keadaan rumah berkenaan.

“Tiba-tiba datang ahli keluarga dia dan kata 'encik jangan masuk surat khabarlah' (jangan iklankan kesusahan pemilik rumah itu di akbar), nanti kami malu’. Kalau tahu malu, kenapa boleh biar keluarga jadi begitu. Itu lagi malu. Saya terguris hati bila tahu mereka ada keluarga terdekat yang boleh dikatakan mampu untuk membantu.

“Tergamak buat rumah pusaka ibu bapa jadi begitu. Daripada rumah yang cantik sehingga nak runtuh,” katanya kepada Majoriti.

Katanya, pemilik rumah pusaka itu merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan saudara kandungnya mempunyai kerja yang stabil, termasuk seorang guru besar.

Baginya, meskipun berlaku masalah tidak puas hati antara mereka namun perkara itu tidak boleh menjadi sebab untuk mengabaikan ahli keluarga.

“Berdasarkan surat-surat berkaitan rumah pusaka itu, memang ia diwariskan kepada pesakit berkenaan. Apa yang saya faham, ibu bapa mereka menyerahkan rumah itu kepada si abang dan pada masa sama saya nampak dia yang paling susah, jadi sudah tentu dia perlukan rumah itu.

“Adik-beradik lain, ada yang bekerja sebagai guru besar. Bagi saya jika ada kerja stabil memang tak perlulah rumah itu. Lelaki itu bergantung pada isteri dengan anaknya dan sebaiknya adik-beradik juga bantu tetapi sebaliknya yang berlaku. Si abang umpama dipulaukan.

“Keluarga abang sulung itu ada empat semuanya termasuk isteri, anak yang masih bersekolah dan seorang baru mula bekerja. Sebelum ni isterinya bekerja di kilang dengan pendapatan hanya RM600 sebulan. Jadi memang tidak mampu nak bantu baiki rumah,” jelasnya.

Keadaan rumah pusaka keluarga di Kuala Selangor itu sangat daif sehinggakan ada ahli jawatankuasa (AJK) persatuan berkenaan mengalirkan air mata saat melihat tempat berteduh keluarga tersebut.

Berbekalkan sumbangan orang ramai dan AJK persatuan itu, mereka berjaya membaik pulih teratak usang keluarga itu.

“Alhamdulillah dengan kerjasama semua persatuan, kami dapat himpunkan tidaklah banyak mana. Tapi kami berjaya runtuhkan rumah depan itu dan ganti baru. Kos anggaran lebih kurang RM20,000 Termasuk sumbangan dari orang ramai dan AJK,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram