Usia lebih 100 tahun bukan alasan rumah pusaka tak boleh jadi homestay


  • Massa
  • Ahad, 23 Okt 2022

Rumah Kuning milik peninggalan keluarga Zakariah ini berusia hampir 102 tahun.

RUMAH pusaka berusia lebih 102 tahun bukan alasan untuk sebuah kediaman lama menjadi inap desa terkenal dan masih mengekalkan keunikan tradisi pada reka bentuk binaannya.

Konsultan rumah inap Bagas Zakariah, Norazhari Nordin berkata, rumah pusaka ataupun dikenali sebagai Rumah Kuning milik keluarga Azim Abdul Azih itu merupakan salah satu daripada tiga pilihan penginapan yang ditawarkan di Bagas Zakariah.

Tersergam indah di atas tanah berkeluasan kira-kira dua hektar itu, homestay terletak di Jalan Besar, Kampung Lawan Kuda di Gopeng, Perak menawarkan tiga pilihan penginapan yang berbeza mengikut cita rasa pengunjung seperti Rumah Lenggong, Rumah Lawan Kuda atau dikenali sebagai Rumah Merah dan Rumah Kuning.

Menurut Azahari, Azim Azih adalah anak bongsu daripada sembilan beradik dan cucu dari generasi ketiga keluarga Zakariah Malim Sulaiman, beliau mewarisi keseluruhan kawasan penginapan berkenaan.

“Sebarang perebutan tidak berlaku kerana tanah ini memang legasi keluarga Zakariah sendiri. Sebelum ini diturunkan kepada Tan Sri Aziz (ayah Azim Azih). Lepas tu diturunkan kepada anak-anaknya.

“Masalah perebutan tidak berlaku. Memang dia sahaja pemilik tunggal. Adik-beradik lain ada bahagian masing-masing,” katanya kepada Majoriti.

Mengangkat tema kehidupan cara kampung atau Kampung Stay, rumah inap itu mula operasi pada ogos 2019 dan Bagas Zakariah juga sering menjadi lokasi perkahwinan idaman.

Rumah Kuning

RUMAH KUNING ISI

Rumah Kuning merupakan rumah asal peninggalan keluarga Zakariah.

Rumah Kuning mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana ia merupakan rumah asal peninggalan keluarga Zakariah yang berusia hampir 102 tahun.

Menurut Azahari, rumah itu dibina oleh, Allahyarham Zakariah Malim Sulaiman, ia adalah rumah tiga generasi tetapi kemudian ditinggalkan untuk sekian tahun.

Ia kemudiannya mendapat sentuhan oleh Azim Aziz yang merupakan seorang arkitek bagi memulihkan keadaan rumah itu sedikit demi sedikit.

Seperti kisah rumah pusaka lain, Rumah Kuning juga tidak terkecuali daripada mengalami masalah seperti kecurian barang berharga iaitu kecurian dan kisah misteri.

“Orang kampung yang melebih, mereka menyifatkannya rumah itu berhantu sehingga ada yang letakkan papan tanda ‘rumah berhantu’. Sebenarnya tiada apa-apa pun. Mulut orang kampung saja. Setakat ini tak ada pun tetamu mengadu.

“Rumah kuning ada juga kes-kes orang ambil kayu dan kelengkapan dalamnya. Macam barang-barang antik lama. Dicuri oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebab kesibukan AR Azim rumah itu jadi setengah jalan lah. Adalah orang tak bertangungjawab yang tahu nilai barang tu, dia pun ambil seperti telefon, congkak kristal. Koleksi buku kira momento-momento keluarga banyak hilang juga,” kongsinya.

MOMENTO RUMAH KUNING

Antara hiasan dalaman Rumah Kuning.

Perlakuan dari individu tidak bertanggungjawab itu membawa kemarahan dan perasaan sedih buat keluarga Azim Azih kerana ia merupakan kenangan yang tidak dapat dijual beli.

Menurutnya, proses membetulkan rumah itu mengambil masa selama 20 tahun sehingga menyebabkan banyak kes kecurian berlaku.

“Dekat tahun 60-an dah mula pindah sikit-sikit Rumah Kuning itu. Banyak struktur yang dipindahkan. Tampal rumah baru, naikkan tiang. Sebab ini adalah legasi Zakariah. Tahun 2019 baru kami mula komersialkan,” katanya.

Rumah Lenggong

rumah lenggong

Rumah Lenggong dipindahkan dari daerah Lenggong ke Gopeng.

Pilihan kedua di Bagas Zakariah, Rumah Lenggong merupakan rumah tradisional asal dari daerah Lenggong, Perak yang kemudiannya dipindahkan ke Gopeng sebelum reka bentuknya dimodenkan.

Menurut konsultan itu, Rumah Lenggong sudah dipindahkan sejak tahun 1950 yang mana pada asalnya ia merupakan kepunyaan seorang Bilal di daerah Lenggong.

“Rumah lenggong ini asalnya kepunyaan seorang bilal. Rumah itu memang kosong dan tiada penghuni. Kami pergi beli daripada Bilal itu dan selepas itu kami pasang di Gopeng.

ISI RUMAH LENGGONG

Suasana Rumah Lenggong.

“Tiada juga isu keluarga Bilal tak setuju. Kebanyakannya rumah begitu senang dibeli jika adik beradik atau kaum keluarga bersetuju. Jika pergi ke Kuala Kangsar rumah sebegitu ada tapi tiada orang duduk. Tapi tak boleh dijual. Salah satu faktor ialah satu rumah banyak penama. Masing-masing ternanti siapa ambil-alih, siapa jual.

“Rumah Bilal itu, Alhamdulillah tiada isu. Kami sebenarnya pengumpul, jadi kami memang cari rumah lama-lama untuk dibangunkan semula,” jelasnya saat menceritakan proses pembelian rumah itu.

Tambahnya, kesemua kayu-kayu dari rumah itu juga masih mengekalkan kepunyaan bilal namun sedikit penambahbaikan dilakukan dengan meletakan kelengkapan moden.

Rumah Lawan Kuda

RUMAH LAWAN KUDA

Konsep rumah penghulu digunakan untuk Rumah Lawan Kuda.

Menurut Azahari, Rumah Lawan Kuda direka khas oleh pemilik Bagas Zakariah juga dengan meletakkan konsep rumah penghulu.

“Rumah Lawan Kuda sempena nama kawasan situ. Bentuk dia memang asal dari lawang kuda cuma struktur guna kayu baru.

“Rumah Lawan Kuda ambil masa 3 tahun untuk bina dan guna konsep rumah penghulu,” jelasnya.

Masih mengekalkan struktur asal rumah Kutai, hampir 95 peratus pembinaan rumah ini adalah daripada kayu Cengal, manakala lima peratus lagi adalah kayu Kempas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram