SEBAGAI sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Muslim Volunteer Malaysia (MVM) percaya suasana di rumah sebenarnya mempengaruhi pembentukan sebuah keluarga harmoni dan bahagia.
Eksekutif Program dalam Jabatan Projek dan Hal Ehwal Kemanusiaan (ProHEK), MVM, Imran Abd Moin berkata, objektif terbesar mengapa pertubuhan itu komited membantu membaik pulih rumah kerana pihaknya percaya sebuah kediaman yang selesa akan memberi impak kepada pembangunan keluarga.
“Kita bantu membaiki rumah untuk beri impak pada pembangunan keluarga. Keluarga baik datang dari rumah yang bagus, bersih, kemas dan ada ruang selamat. Semua perkara itu jadikan seisi rumah selesa.
“Apabila sebuah keluarga berasa seronok semua itu menjurus kepada perkara positif. Kita nak mereka rasa seronok dari segi pembangunan sosial dan psikologi,” katanya kepada Majoriti.
Imran Moin bergambar di hadapan salah satu rumah yang MVM bantu.
Mengimbau kembali ketika pihak MVM turun padang untuk melihat lokasi sebuah rumah di Kampung Tengah, Kuala Tahan di Jerantut, Pahang, Imran menceritakan keadaan rumah itu hanya mempunyai satu bilik jelas menunjukkan tiada ruang privasi untuk anak-anak yang semakin membesar.
Menurutnya, ibu bapa yang kurang pendedahan pendidikan merupakan faktor perkara seperti tidak asingkan tempat tidur boleh terjadi dan berkemungkinan mereka melihat ia bukanlah perkara penting.
“Abang tidur sekali dengan anak perempuan. Bila mak ayah tidak asingkan tempat tidur memang bahaya. Jujurnya mereka ni kurang pendedahan, faktor pendidikan. Itu cara mereka berfikir, hidup apa ada saja. Dalam Islam pun digalakkan diasingkan. Jadi kami tambah satu bilik untuk anak-anak makin membesar nak privasi.
“Kebanyakan mereka ini adik beradik ramai, rumah kecil, bila serabut akan jumpa kawan. Kawan-kawan pula dikelilingi dengan suasana tidak sihat seperti masalah rempit dan dadah.
“Masalah di rumah boleh membawa kepada masalah sosial tapi untuk projek Di Sebalik Pintu (DSP) alhamdulillah tiada masalah seperti tu,” jelasnya.
Pihak MVM bersama keluarga di Kampung Tengah, Kuala Tahan.
Usaha MVM membaik pulih rumah untuk membantu pembangunan keluarga di Kuala Tahan itu berjaya dengan meluaskan teratak dan pastinya memberi keselesaan buat mereka.
Hasil sumbangan orang awam melalui tabung DSP, MVM belanja kira-kira RM23,380 secara keseluruhannya untuk baik pulih serta dekorasi semula kediaman keluarga itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram