Hidup susah bukan alasan, ketahui perangai tipikal pemilik rumah pusaka


  • Massa
  • Sabtu, 22 Okt 2022

Pihak MVM berpendapat miskin ataupun kekurangan wang bukan alasan untuk membiarkan rumah dalam keadaan tidak ceria atau tidak ambil tahu sehingga ia menjadi semakin usang.

HAMPIR tujuh tahun melakukan projek Di Sebalik Pintu (DSP) membuatkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Muslim Volunteer Malaysia (MVM) secara tidak langsung mengenali sikap pemilik rumah.

Menurut Eksekutif Program dalam Jabatan Projek dan Hal Ehwal Kemanusiaan (ProHEK), MVM, Imran Abd Moin, masalah sikap ini yang membelenggu pemilik rumah pusaka usang mahupun kediaman biasa untuk tidak berusaha menceriakan rumah mereka.

Imran berkata, miskin ataupun kekurangan wang bukan alasan untuk membiarkan rumah dalam keadaan tidak ceria atau tidak ambil tahu sehingga ia menjadi semakin usang.

“Ini pandangan kami sebagai NGO. Bagi saya punca rumah mereka teruk ialah masalah sikap. Bagi mereka ‘kalau aku dah miskin kenapa aku nak bersih-bersihkan rumah.

“Bagi saya miskin bukan alasan untuk jadi pengotor dan buat rumah jadi tak ceria. Sebab ada orang miskin, rumah cantik.

“Ada contoh, rumah dari luar usang tapi di dalam memang cantik. Rumah itu boleh jadi homestay. Pemilik rumah itu membuktikan walaupun hidup susah, kita masih boleh menjadikan rumah ceria,” katanya kepada Majoriti.

DSP Klang (5) - Selepas

Pihak MVM berpandangan punca sesetengah rumah pusaka menjadi teruk ialah masalah sikap pemilik.

Berdasarkan pengalamannya, terdapat sebuah rumah dalam senarai calon projek DSP yang kelihatan seperti tiada penghuni dan terbiar dek kerana suasana kediaman itu.

“Ada rumah DSP kami masuk kain baju berlonggok, busuk, berlalat. Kebersihan memang teruk. Mungkin saya tidak duduk kat tempat mereka sebagai orang susah tapi bagi saya mindset kena adalah.

“Jangan jadikn susah sebagai alasan untuk tidak jadi pembersih. Mereka ini ada masalah sikap. Bila kami launch rumah yang sudah dibaik pulih, bos saya akan pesan dengan mereka ‘rumah ini amanah sebab dana ni dari orang ramai, jadi jaga rumah ini,” jelasnya.

Imran berkata, peranan MVM sebagai pihak NGO hanya sebagai orang tengah untuk menyampaikan amanah penderma namun urusan menjaga rumah yang sudah berjaya dibaik pulih adalah tanggungjawab pemilik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram