Hapuskan stigma, jangan anggap pewaris rumah pusaka banyak duit


  • Massa
  • Jumaat, 21 Okt 2022

MVM merupakan antara persatuan sukarelawan yang turun padang dalam memberi bantuan membaik pulih rumah termasuklah rumah pusaka.

TIDAK semua individu yang mewarisi rumah pusaka dalam kalangan orang ‘berada’ atau maksud mudahnya mempunyai duit, kata Eksekutif Program dalam Jabatan Projek dan Hal Ehwal Kemanusiaan (ProHEK), Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Imran Abd Moin.

Imran menjelaskan bahawa masyarakat perlu menghapuskan stigma bahawa pemilik rumah pusaka kaya-raya kerana hakikatnya peninggalan harta sekadar bantuan untuk berteduh.

Pemimpin NGO ini merujuk kepada pemilik kediaman di Kampung Tengah, Kuala Tahan di Jerantut, Pahang yang mewarisi teratak usang peninggalan pusaka arwah ayah sejak 33 tahun dahulu.

“Rumah di Kuala Tahan ini dikesan rakan NGO iaitu Kengkawan Projek. Keluarga ini ada lima anak dan si isteri saat itu sedang menunggu hari untuk melahirkan anak keenam.

“Rumah itu memang nama dia. Rumah itu diwarisi daripada arwah ayahnya. Nama tanah itu memang dia punya.

DSP Kuala Tahan (1) - Sebelum

Keadaan kediaman di Kampung Tengah, Kuala Tahan di Jerantut sebelum dibaiki.

“Bila dapat rumah pusaka, majoriti kita fikir dapat rumah pusaka mesti kaya dan berduit tapi sebenarnya tak. Mereka dapat sahaja rumah itu tapi kehidupan mereka biasa saja. Walau dapat rumah pusaka, pemilik itu masih tak mampu. Nak baiki rumah itu pun tak cukup,” katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, pemilik rumah di Kuala Tahan itu hanya bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di kampungnya dan isterinya pula berniaga roti canai bagi membantu suaminya menampung enam cahaya mata mereka.

Katanya, dengan duitnya yang sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang pasti tidak cukup untuk membaik pulih rumah dengan keadaan papan dindingnya lusuh tidak bercat itu.

“Masa kami dapat gambar itu memang usang dan banyak ruang dimakan anai-anai. Asalnya ayahnya tinggal di situ dari tahun 70-an. Dari dulu begitu saja, memang satu bilik, situlah dapur dan tempat makan,” tambahnya.

Imran berkata, selepas meneliti segala maklumat yang diperlukan mereka berjaya mengumpulkan sumbangan orang dan berhasil untuk membaik pulih rumah keluarga tersebut dalam masa 10 hari sahaja.

DSP Kuala Tahan (10) - Selepas

Keadaan rumah di Kuala Tahan selepas dibaiki.

Dalam pada itu, Imran turut memaklumkan pihaknya akan melihat beberapa kriteria sebelum menolong sesebuah keluarga dan antaranya ialah penerima itu merupakan golongan asnaf dan kelompok B40.

“Kriteria kelayakan adalah asnaf. Kami akan rujuk pihak zakat untuk sahkan golongan asnaf ataupun bukan. Untuk B40 kami akan nilai berdasarkan pendapatan. Berapa dia belanja sebulan.

“Penerima dapatan memang lain-lain. Ada kami cari, ada yang dimaklum rakan-rakan dan jika ada nilai berita ia akan dihebahkan untuk menarik orang ramai menderma. Kriteria penting lain adalah rumah dan tanah milik penghuni,” jelasnya.

Mula beroperasi sejak 2014, MVM merupakan antara persatuan sukarelawan yang turun padang dalam memberi bantuan membaik pulih rumah termasuklah rumah pusaka.

Sejak 2016 melakukan projek Di Sebalik Pintu (DSP), MVM berjaya membaik pulih sebanyak sembilan rumah sama ada baiki hiasan dalaman sahaja ataupun keseluruhan tempat tinggal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram