INGIN melupakan kehidupan lama, seorang bekas banduan meninggalkan ibu kota dan memilih untuk kembali ke rumah pusaka peninggalan datuknya di Kampung Binjul Dalam, Baling di Kedah yang semakin usang.
Rumah yang dulunya hanya sekadar tempat persinggahan keluarga Nuqman (bukan nama sebenar) jika pulang ke kampung halaman itu kian reput terutama di beranda yang sudah rosak.
Malah keadaan sekeliling rumah berkenaan pula dipenuhi semak samun kerana kali terakhir rumah pusaka tersebut dihuni pada tahun 2014 dan sehingga sekarang ia kosong dengan meletakkan harapan orang kampung membantu menjaganya.
Menurut lelaki berusia 33 tahun itu, sebelum rumah itu ditinggalkan, ia juga pernah menjadi tempat berteduh saudara-mara apabila singgah ke kampung halaman mereka.
“Selepas kematian ibu pada 2017, saya datang ke rumah pusaka atuk. Hari pertama sampai memang dah mula mengemas dan bergotong royong dengan keluarga.
“Sebenarnya keluarga pernah rancang untuk jadikan rumah itu homestay tapi disebabkan sayangkan rumah tu cadangan itu tidak diteruskan. Rumah itu tempat saya membesar semasa sekolah berasrama di sini,” katanya kepada Majoriti.
Untuk rekod, Nuqman menjalani hukuman selama dua tahun atas kesalahan penyalahgunaan dadah.
Menurut Nuqman, selepas beberapa kali hanya berulang-alik ke rumah pusaka itu, ternyata terdapat beberapa masalah yang disembunyikan dari pengetahuannya dan paling utama ia telah menjadi sarang penagih dadah.
Malah, sepanjang ketiadaannya menguruskan rumah pusaka itu, ia juga dijadikan sebagai 'port’ lepak geng minum air ketum sehinggakan ada jiran mengadu mengenai kegiatan tidak bertanggungjawab tersebut.
“Dalam masa beberapa bulan saya kembali menetap di rumah pusaka itu, baru saya tahu belakang rumah itu telah menjadi sarang penagih dan terdapat pelbagai jenis bekas diisi dadah ditinggalkan di situ, Memang sedih apabila melihatkan rumah arwah atuk dah jadi begitu.
“Jiran pun mengadu mengenai bau busuk seperti mayat di rumah itu, semuanya kerana kegiatan tidak bermoral itu," katanya.
Nuqman (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya.
Selain itu, katanya, rumah pusaka itu juga jadi mangsa pencerobohan haiwan ternakan yang meninggalkan banyak najis dan haiwan berbisa kerana kawasan rumah yang banyak semak-samun. Jadi memang tidak selamat,” katanya yang menceritakan keadaan rumah pusaka keluarganya itu.
Bukan hanya masalah itu, malahan anak sulung daripada empat beradik itu berkata, ada juga penduduk kampung yang mengaitkan rumah berkenaan dengan peristiwa mistik sehingga mengganggu ketenteraman masyarakat sekitar.
Oleh kerana tidak tahan melihat keadaan rumah kesayangannya yang semakin usang dan menjadi sarang penagih, Nuqman mengambil keputusan merobohkan bahagian rosak rumah berkenaan dan mengubahsuainya pada 2020.
“Bermula 2020 saya mula baik pulih rumah itu tapi tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah disambung semula setahun kemudian.
“Masalah penagih telah dilaporkan dan semuanya dihantar ke pusat pemulihan. Perkara mistik pula saya cuba hentikan dengan bawa ustaz bagi merawat rumah berkenaan. Semua itu saya buat sebab memang niat nak duduk di rumah pusaka itu,” ujarnya.
Menurut Nuqman pengubahsuaian rumah pusaka itu adalah ibarat penghijrahan dirinya agar tidak kembali ke zaman hitamnya, selain rasa tanggungjawab untuk menjaga peninggalan warisan arwah datuknya itu.
“Kini saya uruskan tanaman keluarga, Alhamdulilah pendapatan dari sumber tersebut mencukupi. Sekarang pun rumah dah tak usang macam dulu memang sesuailah untuk ahli keluarga singgah.
“Banyak kenangan di rumah pusaka itu. Saya harap sesiapa yang ada rumah pusaka , tolong jangan dibiarkan tetapi uruskan dengan baik,” tambahnya.
Kos membaik pulih rumah itu ditanggung oleh ayah Nuqman dengan perbelanjaan mencecah RM25,000. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram