SAINGAN Liga Perdana musim ini bakal melabuhkan tiranya tidak lama lagi apabila kesemua 10 pasukan hanya memiliki baki dua perlawanan.
Bagi sesetengah pasukan, kedudukan mereka ketika ini seakan-akan mengesahkan posisi akhir mereka, sekali gus membolehkan pihak pengurusan memikirkan langkah seterusnya yang wajar diambil menjelang saingan musim depan.
Namun, bagi pasukan yang berada di tangga kesembilan, Perak FC, perjuangan mereka dalam saingan liga musim ini masih belum berakhir apabila dua baki perlawanan yang perlu dihadapi tersebut masih perlu diberikan perhatian sepenuhnya.
Meskipun mereka tahu kemenangan ke atas UiTM FC dan Kuching City FC selepas ini tidak akan memberi kesan kepada kedudukan carta, perkara itu tidak boleh diletakkan sebagai penanda aras bagi musim yang bergolak ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perak FC, Bobie Farid Samsudin berkata, perkara itu berikutan keputusan yang dicatatkan dalam dua perlawanan itu mampu memberikan impak besar terhadap hala tuju pasukan The Bos Gaurus.
"Pada pendapat saya, saya hendak menamatkan musim ini dahulu sebab kita tahu bahawa pasukan ini masih perlu mengharungi dua perlawanan yang berbaki.
Oleh itu, saya hendak meletakkan fokus pihak pengurusan terhadap dua perlawanan ini dahulu sebelum kita boleh membincangkan hala tuju pasukan ini secara keseluruhan," katanya kepada Majoriti.
Katanya, ketidak tentuan mengenai format Liga Super musim depan menyukarkan mereka untuk mengenal pasti cabaran dan penambahbaikan yang perlu diambil terhadap pemain dan pihak pengurusan.
"Sebenarnya, kita pun masih tidak jelas dengan struktur untuk liga musim depan dan ini menyukarkan kita untuk mencari pendekatan yang terbaik dalam mengharungi musim yang mencabar.
"Ada sesetengah daripada mereka yang mengatakan akan ada perlawanan yang menentukan kelab yang layak ke Liga Super, ada setengah yang mengatakan tidak, jadi ini dilihat sebagai satu perkara yang masih tiada kata putus," katanya.
Selain itu, CEO One XOX Sdn Bhd ini berkata, lesen untuk beraksi di saingan Liga Super akan datang sudah diperolehi bagi meningkatkan peluang untuk mereka beraksi di samping pasukan-pasukan tempatan yang ternama.
"Seperti yang kita ketahui, setiap kelab perlu mendapatkan lesen dan salah satunya adalah berkaitan kewangan yang sepatutnya diselesaikan sebelum 31 Ogos ini.
"Jadi, saya dan pihak pengurusan sudah melengkapkan segala urusan untuk mendapatkan lesen itu supaya dapat beraksi sekiranya boleh pada musim depan," katanya.
Bobie turut mengakui bahawa kelab bola sepak itu diperolehi semasa mereka sedang dalam pergelutan dan kemelut yang perlu diselesaikan sebelum segala perkara lanjutan boleh dirancang.
Kemelut yang melanda Perak FC seakan tiada penghujung — Instagram/Perak Football Club
"Kini, saya lihat modus operandi saya dan One XOX Sdn Bhd adalah untuk menstabilkan semula kelab yang sedang terumbang-ambing ini supaya saya dapat memahaminya dengan lebih teliti.
"Saya pun tidak mahu sekiranya keputusan yang kami ambil bakal merugikan kerana macam yang kita faham bahawa bola sepak ini mampu menjana pendapatan, jadi saya tidak mahu membuat keputusan yang terburu-buru," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram