Selain Bergson, 3 lagi bintang JDT curi tumpuan penyokong Harimau Selatan


  • Podium
  • Selasa, 30 Ogos 2022

JDT menebus kekecewaan selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-juara AFC sebelum ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

AKSI Liga Super pada Isnin malam menyaksikan Johor Darul Takzim (JDT) menumpaskan pasukan Melaka United FC selepas menjaringkan empat gol tanpa dibalas di Stadium Sultan Ismail (SSI).

Kemenangan itu memastikan pasukan kendalian Hector Bidalgo kekal di tangga teratas dengan enam mata dibezakan dengan pasukan tempat kedua, Sabah FC yang masih tidak putus asa mengejar pasukan berpengkalan di selatan itu.

Permainan yang bertenaga ditonjolkan pasukan tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke-13 daripada penyerang kelahiran Argentina, Fernando Forestieri daripada sepakan dari luar kotak penalti.

Harimau Selatan kemudiannya meneruskan pemburuan untuk mendapatkan tiga mata berharga menerusi jaringan hattrik daripada penyerang import berbisa, Bergson da Silva.

Jaringan itu sekaligus membantu pemain kelahiran Brazil ini dalam usahanya merebut gelaran Penjaring Terbanyak Liga Super musim ini dengan 20 gol selepas 15 perlawanan yang dihadapi.

Meskipun Bergson berjaya mencuri tumpuan dalam perlawanan itu, beberapa pemain lain turut beraksi dengan cemerlang yang membolehkan mereka menerima pujian daripada para penyokong JDT.

1. Haziq Nadzli

Antara nama yang disebut-sebut sebagai pemain yang bersinar semalam adalah penjaga gol, Haziq Nadzli yang menggantikan kapten pasukan, Farizal Marlias berikutan kekalahan yang dialami ketika menentang kelab Jepun, Urawa Red Diamonds dalam saingan Liga Juara-juara AFC.

Pemain muda ini sering dikatakan sebagai penjaga gol yang mampu menggalas tanggungjawab sekiranya kontrak Farizal tidak disambung pada musim depan berikutan umur dan kebolehannya yang masih boleh digilap.

301695131_2373896092773676_5851555405515238411_n

Persembahan Haziq Nadzli memberi bayangan masa depannya bersama JDT. JOHOR Southern Tigers

Ketika menentang skuad Hang Tuah, Haziq berjaya memastikan barisan penyerang lawan tidak mampu menembusi gawang gol dalam usaha menambah duka yang dialami pasukan itu.

Persembahan yang ditonjolkan penjaga gol kelahiran Selangor ini memberikan kegembiraan kepada penyokong Harimau Selatan yang berpuas hati dengan kemampuannya.

Bagi Najmi Iman, Haziq akan sentiasa memberikan persembahan yang terbaik sekiranya diberikan peluang dalam memastikan gawang skuad Harimau Selatan tidak dibolosi.

"Akhirnya, Haziq Nadzli telah dibawa untuk menggantikan Farizal Marlias dalam perlawanan kali ini, inilah masanya untuk dia menunjukkan kebolehan kerana saya sendiri lihat Farizal sudah tidak relevan," katanya.

Mi Mestalla berkata, penjaga gol simpanan ini akan terus menujukkan kebolehannya dalam membuktikan kepada staf kejurulatihan dan penyokong bahawa dia akan menggantikan Farizal Marlias.

"Haziq Nadzli akan menunjukkan kepada orang ramai bahawa dia merupakan pewaris kepada takhta penjaga gol yang sudah sekian lama dipegang Farizal pada musim-musim akan datang," katanya.

2. Corbin Ong

Bagi peminat bola sepak tanah air, kehadiran pemain pertahanan kiri, Corbin Ong sudah tidak asing lagi apabila pemain ini sering menunjukkan kemampuannya dalam aspek serangan dan pertahanan.

Corbin, yang dibawa masuk dari kelab Belanda, Go Ahead Eagles pada tahun 2018 merupakan figura penting yang sukar digantikan dalam skuad JDT dan pasukan kebangsaan.

Selain sering menampilkan persembahan cemerlang, pengalaman pemain 31 tahun ini membuatkan kehadirannya sukar digantikan setelah berjaya tampil dalam hampir 100 perlawanan setakat ini.

Dalam perlawanan menentang Melaka United, Corbin Ong berjaya mencatatkan dua bantuan gol apabila hantaran pendeknya disudahkan Forestieri menerusi rembatan daripada luar kotak.

Pemain berdarah kacukan England-Malaysia ini sekali lagi menunjukkan kemampuannya selepas hantaran lambungnya menemui Bergson di dalam kotak penalti lawan sebelum sepakan penyerang itu berjaya menggegarkan gawang gol MUFC.

Corbin Ong juga menunjukkan kebolehannya untuk menyekat cubaan pemain sayap, Syukri Baharun dalam mendapatkan gol saguhati bagi penyokong MUFC yang membanjiri stadium dalam perlawanan itu.

300806671_2373942592769026_6072832000492882180_n

Corbin Ong (kanan) berjaya mencipta dua hantaran gol selain berhasil mencatatkan 'clean sheets'. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Persembahan itu membolehkannya menerima pujian daripada penyokong yang sekali lagi berpuas hati dengan sumbangan menyeluruh dalam mencatatkan kemenangan ke-13 dalam liga.

King Anjang berkata, hantaran silang yang dibuat pemain itu sememangnya berkualiti dalam membantu barisan serangan memperoleh peluang untuk melakukan perbezaan.

"Memang cantik dan kemas hantaran silang yang dibuat Corbin Ong ini," katanya.

Rahim Mat juga berkongsi pendapatnya akan pemain ini apabila hantaran dan lariannya memainkan peranan penting dalam membantu JDT memperoleh tiga mata berharga itu.

"Suka betul tengok hantaran Corbin Ong semasa menentang Melaka United, cara pertahanan dia pun memang kemas sekiranya dibandingkan dengan Daniel Ting sebelum ini," katanya.

3. Fernando Forestieri

Kehadiran Bergson yang diturunkan bagi menerima kunjungan skuad Hang Tuah menggembirakan penyokong yang seakan pasti kemenangan mampu dicapai dengan prestasi pemain import itu kebelakangan ini.

Namun, segelintir daripada mereka melihat sumbangan pemain sayap, Fernando Forestieri tidak kurangnya meskipun hanya berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan itu.

Pemain yang serba boleh ini bukan sahaja mempunyai kelajuan dan kebolehan untuk mengelirukan pihak lawan, namun kebolehannya untuk membaca perlawanan membuka peluang untuk rakan sepasukan mencari peluang menjaringkan gol,

Selain itu, keserasian bekas pemain Watford ini bersama Bergson juga terserlah apabila dia berjaya membuat satu umpanan gol pada minit ke-42 perlawanan.

300589184_2373895919440360_1026938668494352236_n

Fernando Forestieri berjaya menjaringkan satu gol ketika berdepan Melaka United. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Kini, Forestieri berjaya menjaringkan 13 gol dalam saingan Liga Super yang hanya diatasi Bergson dan ini menunjukkan kemampuan pemain ini untuk mencetak gol persendirian.

Bagi Hasdi Regen, kemampuan Forestieri untuk menjaringkan gol daripada situasi yang sukar menujukkan kemampuannya sebagai seorang pemain yang berkualiti.

"Gol-gol daripada Forestieri memang tidak pernah mengecewakan walaupun dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini," katanya.

Perkara itu turut dipersetujui Izz Syazwan apabila dia melihat pemain JDT itu perlu diberikan lebih perhatian daripada pihak pertahanan lawan apabila dia mampu melakar gol seperti itu.

"Forestieri ini sepatutnya diberikan lebih perhatian daripada barisan pertahanan lawan apabila dia mampu menjaringkan gol daripada luar kotak seperti itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram