SERAMAI 27 individu termasuk 25 wanita warga asing dipercayai pelacur ditahan susulan serbuan di sebuah kondominium dan sebuah hotel di Puchong, Selangor.
Operasi yang diberi nama kod "Ops Gegar" itu dijalankan oleh 21 pegawai Imigresen kira-kira pukul 5 petang pada Jumaat.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, wanita warga asing yang ditahan ialah 20 warga Indonesia, tiga warga Thailand dan dua warga Vietnam berusia antara 18 dan 47 tahun.
"Kami turut menahan dua lelaki tempatan yang menjadi penjaga premis itu.
"Siasatan awal mendapati wanita warga asing itu berpakaian seperti warga tempatan untuk menarik pelanggan
"Salah seorang wanita warga asing yang ditahan disyaki sebagai “mumia” atau yang bertanggungjawab menguruskan mereka.
"Wanita berusia 28 tahun itu ditahan di kondominium berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, pelbagai barangan dirampas termasuk wang tunai RM9,325, kondom, pelincir dan buku log merekod kehadiran pekerja serta senarai pelanggan.
"Pelanggan yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan sindiket akan berhubung melalui WhatsApp.
"Mereka kemudiannya akan diberi kata kod untuk memasuki premis itu," katanya.
Jelasnya, pelanggan dikenakan bayaran RM240 untuk menempah setiap wanita untuk seks.
"Wanita itu akan bekerja dari pukul 11 pagi hingga pukul 4 pagi di hotel.
"Mereka yang sakit akan ditempatkan di kondominium di bawah jagaan mumia. Mereka berkurung di sana sehingga sembuh," katanya.
Kondominium itu juga digunakan sebagai tempat transit wanita yang tiba dari Indonesia atau Thailand sebelum dihantar ke hotel untuk bekerja sebagai pelacur.
"Kami percaya sindiket itu telah beroperasi hampir dua tahun.
"Wanita asing itu memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial," katanya.
Jabatan itu akan memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan negara dan melakukan pemeriksaan lebih ketat terhadap dokumen perjalanan pelancong yang tiba.
"Mereka yang ditahan dibawa ke pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram