Najib mahu Ketua Hakim Negara undur diri


  • Prosiding
  • Selasa, 23 Ogos 2022

Najib mengangkat tangan ketika hadir di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pada Selasa. — Bernama

DATUK Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengemukakan permohonan supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili bekas Perdana Menteri itu memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa, pasukan pembelaan telah memfailkan permohonan supaya hakim nombor satu negara itu menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut lewat malam pada Isnin.

Beliau berkata salinan permohonan telah diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V.Sithambaram kemudian bangun dan berkata pihak pendakwaan belum menerima salinan.

Bagaimanapun, Hisyam berkata beliau ingin membalas hujah Sithambaram mengenai isu sama ada mahkamah boleh membuat keputusan tanpa mendengar hujahan pembelaan.

Tengku Maimun kemudian mengarahkan peguam itu agar menjawab hujah Sithambaram terlebih dahulu.

Namun Hisyam menggesa permohonan agar Ketua Hakim Negara itu menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut didengar terlebih dahulu.

"Kamu sepatutnya berhujah mengenai enam autoriti yang digunakan oleh pihak pendakwaan bahawa mahkamah boleh membuat keputusan tanpa mendengar hujahan pihak pembelaan," kata Tengku Maimun.

Pada peringkat ini, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim mencelah dan berkata panel itu mahu mendengar hujahan balas pihak pembelaan terlebih dahulu.

"Kita di sini bukan untuk membuang masa," kata Tengku Maimun yang kemudian meminta kakitangan mahkamah mendapatkan dokumen berkaitan berhubung permohonan agar beliau menarik diri.

Mahkamah kemudian berehat sebentar. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram