Sah letak jawatan, orang kuat FAM mahu tumpu kerjaya antarabangsa


  • Podium
  • Selasa, 23 Ogos 2022

Mohd Saifuddin mahu memberi tumpuan pada kerjaya antarabangsa.

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan sudah mengemukakan surat peletakan jawatan pada minggu lepas.

Mohd Saifuddin berkata, keinginan untuk kembali menyambung kerjaya di peringkat antarabangsa menjadi sebab beliau mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari badan induk bola sepak negara itu.

Tanpa mendedahkan hala tujunya selepas ini, beliau berkata, satu mesyuarat tergempar dijadual berlangsung di FAM petang ini (Selasa) bagi membincangkan keputusan pengundurannya.

"Alasannya tiada lain disebabkan saya mahu menumpukan perhatian terhadap kerjaya antarabangsa. Saya pun rasa secara tidak langsung saya telah menyumbang kepada kejayaan FAM (sekarang)," katanya.

Bekas Perunding Teknikal Liga Profesional Oman itu yang dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada penghujung Ogos tahun lepas turut menafikan laporan media tempatan bahawa beliau bakal ‘direhatkan’.

Beliau yang berang dengan laporan itu berkata, tiada sebab untuk dirinya direhatkan apabila telah melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah selama ini.

"Tiada gesaan (letak jawatan) atau apa-apa, saya (juga) gembira bekerja di FAM. Saya rasa saya tak pernah calarkan nama FAM...jelas juga saya tak ambil dan curi duit FAM atau ambil komisen dan sebagainya," katanya yang juga bekas Pengurus Pertandingan Liga dan Pelesenan Kebangsaan di Oman.

Mohd Saifuddin yang juga komisioner perlawanan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin adalah sebab untuk beliau kembali bekerja di FAM.

"Beliau (Hamidin) adalah kawan saya, pada masa sama saya nak bantu bola sepak Malaysia. Perkara terbesar telah saya buat (di FAM) adalah membangunkan beberapa liga domestik, beri cadangan mengenai pertandingan Piala Belia dan kongsi idea untuk bantu persatuan bola sepak negeri,” katanya.

Mohd Saifuddin menyertai FAM sejak 1993 hingga 2004 sebagai Ketua Jabatan Pertandingan FAM selain pernah menjadi Penolong Setiausaha Agung pada 2007 hingga 2009.

Pelantikan beliau sebagai Setiausaha Agung FAM itu susulan kekosongan ditinggalkan Stuart Ramalingam yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram