36 pintu Rumah Panjang Jungan musnah terbakar, penghuni hanya mampu menangis


  • Tular
  • Selasa, 23 Ogos 2022

Tangkap layar kejadian Rumah Panjang Jungan musnah dijilat api.

SEBUAH Rumah Panjang Yamin, di Batu 36, Jalan Sibu-Selangau, Sarawak musnah dalam kejadian kebakaran pada Selasa pagi.

Dalam video yang dimuat naik oleh Dansy Iswandy di laman Facebook itu menunjukkan api kelihatan begitu marak dengan kepulan asap tebal.

Dalam beberapa rakaman video yang dimuat naik itu turut menunjukkan rumah panjang diperbuat daripada kayu itu disambar api dengan cepat sekali.

Turut kelihatan beberapa penghuni rumah panjang cuba menyelamatkan kenderaan mereka yang diparkir di bawah rumah panjang tersebut.

Lebih menyayat hati, beberapa orang kampung hanya mampu terduduk menangis melihat keadaan rumah panjang mereka.

Untuk makluman, rumah panjang tersebut dihuni 36 keluarga dan kebanyakan penghuni masih di rumah ketika kejadian berlaku.

Dalam satu kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.58 pagi Selasa.

Komander Operasi melaporkan kebakaran itu melibatkan Rumah Jungan sepanjang 36 pintu dan struktur tidak kekal telah terbakar 100 peratus.

Setakat ini kerja-kerja pemadaman dan overhaul masih dijalankan.

"PGO Sarawak terima panggilan kebakaran rumah panjang di alamat berkenaan dan telah menggerakkan keluaran jentera ke lokasi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau diketuai PBK II KUP Abdul Malik Chi dikerah ke lokasi kejadian dengan sebuah FRT Nissan bersama enam anggota.

Selain itu, BBP Sungai Merah diketuai PBK II Mohamad Faizal, Bujang bersama enam anggota FRT, EMRS (2) dan Water Tanker (2) juga tampil membantu ke lokasi.

Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram