'Entah siapa yang salah ku tak tahu', payung terjun anggota tentera tersalah 'landing'


  • Tular
  • Selasa, 23 Ogos 2022

Tangkap layar video tular ketika anggota tentera tersebut sedang mendarat di tempat tidak sepatutnya.

KEHIDUPAN seorang anggota tentera yang memerlukan latihan kecergasan mental dan fizikal merupakan perkara biasa hingga ada memerlukan risiko kehilangan nyawa.

Latihan itu penting sebagai salah satu pengorbanan untuk mempertahankan negara daripada sebarang ancaman luar.

Apatah lagi, Malaysia bakal menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-65 tahun pada 31 Ogos ini, dan sudah tentu kebanyakan anggota barisan hadapan itu sedang bersedia mempersiapkan persembahan yang bakal disajikan buat penduduk di negara ini.

Namun, malang tidak berbau bagi seorang lelaki, dipercayai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang berdepan dengan detik-detik mencemaskan apabila payung terjun miliknya mendarat di tempat tidak sepatutnya ketika melakukan latihan ketenteraan.

Menerusi perkongsian video di laman TikTok @AyedZainal, anggota tentera itu dilihat terpaksa mendarat di bahu jalan raya, sebelum payung terjun yang digunakan tersangkut pada salah satu pagar di rumah penduduk berdekatan.

Kejadian itu turut disaksikan oleh pengguna jalan raya di lokasi kejadian, manakala ada segelintir yang berpendapat bahawa, dia mungkin menemui ajal sekiranya payung terjun miliknya mendarat di tengah-tengah jalan raya.

Dalam video sama, anggota tentera itu dilihat masih mampu berdiri setelah mengalami kemalangan tersebut.

Payung terjun yang digunakan oleh anggota tentera itu dipercayai gagal berfungsi dengan baik akibat faktor cuaca, sekali gus menyebabkannya hilang kawalan.

Lokasi kejadian dipercayai berlaku di Mersing, Johor, manakala masa sebenar masih belum dikenal pasti.

Majoriti sedang berusaha menghubungi perakam video, @AyedZainal untuk mendapatkan maklumat lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram