'Sikok bagi duo', 3 remaja bertudung kena panah petir ketika asyik menari


  • Benua
  • Isnin, 22 Ogos 2022

Tangkap layar rakaman tular kejadian sekumpulan remaja perempuan yang leka menari di atas pentas tiba-tiba dipercayai disambar petir. — Instagram

SATU rakaman video amatur tular selepas sekumpulan remaja perempuan yang sedang asyik menari di atas pentas tiba-tiba disambar petir, dipercayai berlaku di negara jiran, Indonesia.

Dalam video yang dimuat naik akaun Instagram @infojabarnews itu, kelihatan tiga orang gadis bertudung menari di atas pentas ketika hujan turun dengan lebat.

Mereka kelihatan asyik menari dengan iringan muzik dangdut yang dimainkan oleh kumpulan pemuzik di belakang pentas.

Menurut laporan Suara.com, acara di lokasi dipercayai berakhir lebih awal berikutan hujan lebat yang melanda kawasan setempat.

Rakaman tular kejadian sekumpulan remaja dipercayai disambar petir. — Instagram

"Kalau dilihat lokasi itu lengang, malah kerusi-kerusi di bawah khemah pun banyak yang kosong," tulis laporan berita itu.

Kebetulan, salah seorang tetamu jemputan di tempat kejadian secara tidak sengaja merakam detik-detik ketika petir kilat menyambar khemas pentas itu.

Di penghujung video tersebut, kedengaran bunyi dentuman guruh yang sangat kuat menyebabkan perakam terkejut hingga telefon bimbitnya terjatuh.

Tidak diketahui bagaimana nasib individu dalam video itu kerana rakaman tersebut terhenti begitu saja selain bertukar gelap.

Semakan di Instagram @infojabarnews juga tidak dinyatakan butiran kejadian.

Bagaimanapun, kejadian dipercayai berlaku di Jabar, Jawa Barat, Indonesia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram