Jutawan kena rompak 2 'rider', nyaris hilang jam tangan Rolex


  • Benua
  • Selasa, 23 Ogos 2022

Salah seorang perompak mengetuk cermin tingkap Bugatti Chiron itu dengan penukul beberapa kali sebelum jutawan itu segera memecut laju. — Agensi

SEORANG jutawan dari Kuwait, Abdullah F. Al Basman mengalami detik-detik cemas apabila cuba disamun oleh dua orang lelaki menaiki skuter yang menyamar sebagai rider penghantar makanan ketika dia sedang menunggu lampu isyarat di sekitar Mayfair, London, England.

Menurut salah seorang saksi, perompak tersebut berada di hotel yang diduduki oleh jutawan Kuwait itu, sebelum diminta untuk beredar oleh salah seorang kakitangan hotel, lapor The Sun.

"Apabila Abdullah keluar menaiki keretanya, mereka mula mengikutinya sehingga ke Hyde Park Corner, London, England.

"Salah seorang daripada mereka membunyikan hon yang saya anggap ia sebagai isyarat untuk memulakan serangan," kata saksi kejadian tersebut.

Dalam video yang tular di media sosial, salah seorang perompak mengetuk cermin tingkap Bugatti Chiron itu dengan penukul beberapa kali sebelum jutawan itu segera memecut untuk menyelamatkan diri.

Memetik laman The Sun lagi, kedua-dua lelaki itu dipercayai menyasarkan jam tangan Platinum Rolex Daytona milik jutawan itu yang dianggarkan lebih £110,000 (RM583,711).

Al Basman sedang menginap di Hotel Berkeley, London, England yang mana saksi berkata, perompak mengikutinya sebelum melakukan serangan terbabit, namun cubaan rompakan itu gagal dan kedua-duanya melarikan diri ke tepi jalan daripada jalan utama.

Insiden yang terjadi itu menjadi sebahagian daripada satu lagi keganasan hujung minggu ketika peningkatan jenayah semakin meruncing di seluruh ibu negara London, England.

Datuk Bandar London, Sadiq Khan berkata, peningkatan jenayah serta keganasan berlaku di tempat mereka ketika ini disebabkan musim panas, waktu siang lebih lama dan cuti sekolah yang sedang berlangsung.

“Kami sedang bekerjasama dengan polis untuk menyekat keganasan daripada terus meningkat,” kata Sadiq Khan kepada portal LBC. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram