SATU kejadian rompakan sempat dirakam dan tular di media sosial dipercayai berlaku di sebuah rumah di Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.
Menerusi beberapa klip video yang dimuat naik mangsa di halaman Facebook Monica Voo menunjukkan suspek menggunakan kenderaan jenis Nissan Navara bewarna hitam.
"Kejadian rompak terjadi pada pukul 3 pagi tadi.
"Tolong berhati-hati, kejadian berlaku berdekatan Klinik Luyang.
"Nampak gaya macam seorang pencuri yang profesional, pakai sarung tangan agar cap jari tidak dapat dikesan.
"Pencuri juga kelihatan berani walaupun ada kamera litar tertutup (CCTV) dan ada kemungkinan dia akan datang balik.
"Nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek adalah palsu ST1828. Tidak kira di mana tempat anda, sila berhati-hati," tulisnya.
Dalam video tersebut, menunjukkan suspek yang bersenjatakan parang memasuki rumah mangsa dengan menolak pagar rumah tersebut.
Seorang lagi rakan suspek menunggu di dalam kereta tersebut.
Mangsa yang kebetulan pulang ke rumah menaiki kereta Perodua Myvi pada waktu kejadian sempat cuba menangkap suspek.
Mangsa dan seorang lagi rakannya cuba menahan dan menolak suspek namun suspek berjaya melarikan diri dengan melompat pagar rumah itu.
Supek kemudiannya masuk ke dalam kereta dan terus memecut laju.
Nissan Navara yang digunakan oleh suspek merompak di sekitar Sabah — Facebook/AjaiDevgan
Menurut seorang warganet, Ajai Devgan kenderaan Nissan Navara itu adalah miliknya yang dicuri pada bulan lalu.
"Navara saya yang hilang itu rupa-rupanya digunakan untuk merompak di Kota Kinabalu semalam.
"Sebelum ini merompak kedai perkakasan di Pitas.
"Minta tolong kawan-kawan di Sabah bantu saya cari kereta saya. Susah nak kesan sebab nombor pendaftaran bertukar-tukar," tulisnya.
Kedua-dua mangsa sudah membuat laporan polis namun belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram