GURU yang melarikan diri selepas dipercayai merogol dua remaja sekolah di Bintulu telah dikenakan tindakan beku gaji.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kes berkenaan dirujuk ke Lembaga Tatatertib Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
"Antara tindakan lain yang telah diambil termasuk membekukan gaji guru berkenaan kerana tidak hadir bertugas," katanya pada Rabu.
Terdahulu, kejadian rogol itu dipercayai berlaku pada 26 Julai dan 29 Julai melibatkan dua pelajar berusia 14 tahun.
Dalam pada itu, Fatimah turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa apabila berlaku kes sedemikian terhadap gadis bawah umur.
"Kami akan pastikan anda tidak bersendirian, kita akan berusaha mendapatkan keadilan daripada apa yang berlaku, dia (suspek) mungkin boleh lari, bersembunyi, tetapi cepat atau lambat anda akan ditangkap.
"Kepada mangsa-mangsa yang telah dikenal pasti, saya akan menggerakkan jabatan di bawah tanggungjawab saya dan pihak-pihak lain yang berkaitan sekiranya perlu untuk memberi bantuan dari segi kaunseling dan kesihatan mental bagi meringankan kesan trauma yang dialami oleh pelajar berkenaan," katanya.
Fatimah turut menggesa agar polis Sarawak dan Semenanjung bekerjasama dengan Jabatan Imigresen serta Jabatan Pendidikan untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.
"Suspek harus disiasat dan didakwa bukan sahaja mengikut Sekyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, tetapi Sekyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.
Dalam masa sama Fatimah turut meminta sesiapa yang pernah menjadi mangsa untuk tampil memberi keterangan.
Selain itu, pihak Kerajaan Persekutuan juga boleh membuat satu polisi bagi mewajibkan saringan terperinci ke atas bakal guru bagi memastikan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau terutama sekali pemangsa seksual.
Sementara itu pada 10 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Bartholomew Umpit dalam kenyataan berkata, pihaknya mengesan seorang guru dari Tumpat, Kelantan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Suspek yang dikenal pasti sebagai Tengku Nasrul Haizal Mohd Nasir diletakkan dalam senarai Orang Yang Dikehendaki (OYD) polis, dilaporkan menghilang diri sejak bulan lalu selepas perbuatannya terbongkar. — Astro Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram