Usung jenazah wanita 13 kilometer, alasan hospital ambulans hanya untuk pesakit disiasat


  • Benua
  • Rabu, 17 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan ahli keluarga Tanisa terpaksa mengusung mayatnya sepanjang sejauh 13 km.

JENAZAH seorang wanita terpaksa diusung sejauh 13 kilometer (km) untuk dikebumikan disebabkan ketiadaan van jenazah.

Wanita yang dikenali sebagai Tanisa itu meninggal dunia di salah sebuah hospital di Kalumpang, Sulawesi Barat.

Menurut anak saudara mangsa yang dikenali sebagai Fenny Tadius, ahli keluarganya mahu jenazah dikebumikan di kampung.

Katanya, dia berusaha meminta bantuan hospital untuk menggunakan ambulans bagi menghantar jenazah ke kampung halaman.

“Kami kecewa apabila pihak hospital tidak mahu menghantar jenazah ibu saudara saya ke kampung untuk dikebumikan.

"Pihak hospital memberikan alasan bahawa ambulans hanya digunakan untuk membawa pesakit sahaja," katanya.

Disebabkan tidak mahu terus bertelagah, dia dan beberapa ahli keluarga lain nekad mengusung jenazah untuk dibawa pulang ke rumah.

Menurut Fenny, sebelum kejadian ibu saudara mangsa sempat mendapatkan rawatan di hospital tersebut, namun diarahkan untuk pulang setelah penyakitnya parah.

Namun pihak hospital tidak mahu menghantar Tanisa pulang ke rumah dan memberikan alasan yang sama.

Dalam perkembangan lain, Pegawai Kabupaten Mamuju, Sutinah Suharda tampil memohon maaf atas insiden tersebut.

Beliau berkata pihaknya sedang menyiasat insiden tersebut dan kesal dengan tindakan pihak hospital Kalumpang yang tidak menghantar jenazah Tanisa.

Jelasnya, ambulans boleh digunakan bagi menghantar jenazah sekiranya tiada kes kecemasan lain di hospital. — Agensi