SEORANG lelaki hanya mengharapkan anak perempuannya untuk kembali ke pangkuannya, selepas dia mendakwa isterinya membawa lari cahaya mata mereka sejak tiga bulan lalu.
Menurut Mohd Asraf, dia sangat merindui puteri tunggalnya itu dan berharap anaknya perempuannya yang berusia dua tahun berada dalam keadaan selamat.
Dakwanya, dia dalam proses penceraian setelah mengetahui wanita itu menjalin hubungan dengan lelaki lain.
Mohd Asraf berkata, sehingga kini dia masih tidak dapat menemui isteri dan anaknya.
"Saya hanya nak anak saya sahaja dan akan melafazkan talak kepada dia (isteri), untuk kes lain biarlah polis buat siasatan.
"Kalau boleh, lepas siasatan, saya bawa balik dia ke rumah (keluarga).
"Macam mana saya ambil dia dulu, macam tu saya akan hantar semula ke rumah dia," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, Maiziannur Hidayah Anuar, 32, dilaporkan hilang bersama anak perempuannya, Nor Ainnisa Madina Mohd Asraf, sejak Mei lalu.
Usaha mencari dua beranak itu kini giat dijalankan oleh pihak berkuasa.
Menurut lelaki yang berusia 40 tahun itu, dia sudah mula mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain sejak tiga tahun lalu.
"Isteri saya 'kantoi' berborak dengan lelaki lain dan cuba menyembunyikan telefon bimbit.
"Bermula dari kejadian itu, isteri saya sudah mula berkelakuan pelik dan meminta cerai. Perhubungan kami juga mulai dingin dan tidak semesra dulu," katanya.
Motosikal yang didakwa dibawa lari oleh isteri Mohd Asraf sebelum ditemui.
Mohd Asraf berkata, kali terakhir dia bertemu dengan isteri dan anaknya adalah pada 11 Mei lalu sebelum dia berangkat ke tempat kerja.
Pada tarikh sama, sebaik sampai rumah pada pukul 12.15 malam, dia mendapati isteri dan anaknya sudah tiada di kediaman mereka.
Mohd Asraf seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Siput, Kuala Kangsar, Perak pada keesokan harinya.
"Lepas tiga hari saya jumpa motosikal saya dekat kawasan perumahan sebelah sebelum memberitahu polis.
"Tuan rumah kata mereka (isteri dan anak) naik kereta bersama dua lelaki, tapi nombor plat dan model kereta tak dapat dikesan sebab nampak dari jauh.
"Sampai sekarang, saya dan keluarga isteri cari mereka berdua dan masih tak jumpa," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan dua beranak tersebut boleh menghubungi Asraf di talian 019-3340018 atau melaporkan perkara itu di balai polis berdekatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram