Penyokong kasual tak akan terlepas, FAM jamin ambil tindakan drastik tapi perlu tertib


  • Podium
  • Rabu, 17 Ogos 2022

KEROSAKAN yang berlaku ekoran daripada pergaduhan antara Kelantan FC dan Perak FC pada 10 Ogos lalu. — Agensi

KEBELAKANGAN ini, insiden pergaduhan melibatkan penyokong-penyokong di stadium pada perlawanan Liga Malaysia dilihat semakin menjadi-jadi.

Pada 10 Ogos lalu, perbalahan di antara penyokong Kelantan FC dan Perak FC tercetus apabila penyokong The Bos Gaurus didakwa melakukan provokasi dengan memijak bendera Kelantan dan kencing di padang usai perlawanan Liga Perdana melibatkan kedua-dua pasukan.

Kesannya, kumpulan penyokong Perak telah dibaling batu oleh penyokong Kelantan sejurus perlawanan tamat.

Bukan itu sahaja, penyokong-penyokong Perak terpaksa dikepung di dalam stadium untuk tujuan keselamatan.

Belum lagi reda insiden tersebut diperkatakan, perlawanan Liga Super di antara Melaka United dan Sri Pahang yang berlangsung pada Sabtu lalu pula menyaksikan pergaduhan di bahagian tempat duduk penonton yang sempat dirakam dan tular di media sosial.

Melihat kepada kejadian memalukan itu, peminat-peminat bola sepak tanah air menggesa pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil serius isu ini agar ia tidak menjadi budaya dalam kancah bola sepak negara.

Mengulas kepada perkara tersebut, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya akan mengambil tindakan drastik bagi memastikan insiden tersebut dapat dibendung.

"Kami sedia maklum dua insiden yang berlaku dan kami akan membawanya ke Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin akan datang untuk meneliti kes tersebut.

tumbuk

Insiden pergaduhan antara penyokong Melaka United dan Sri Pahang. — Facebook

"Kami pun tidak boleh terus bawa perkara ini ke mesyuarat. Kami perlu hantar surat kepada pihak-pihak terlibat dan menunggu laporan daripada Kommisioner Perlawanan (MC) terlebih dahulu.

"Kami juga tidak boleh terus menahan mana-mana individu atau kumpulan berdasarkan laporan umum semata-mata kerana mereka ini masuk secara sah dengan membeli tiket.

"Kalau silap, kami boleh disaman pula. Jadi, perkara ini perlu melalui proses yang panjang sebelum sebarang kenyataan boleh dikeluarkan mengenai langkah yang bakal diambil itu," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, Pentadbir Kelab Tegar Melaka United, Rinkashi atau lebih mesra dengan panggilan Abang Rim menegaskan bahawa dua individu yang bergaduh itu di dalam video tular bukan penyokong Melaka atau Pahang.

Rinkashi mengesyaki bahawa mereka ini sebenarnya individu yang dibayar bagi merosakkan imej bola sepak negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram