Facebook Najib berpengaruh, banyak bantu pulihkan Umno — Ahmad Zahid


  • Politik
  • Rabu, 17 Ogos 2022

Ahmad Zahid mengakui Najib Razak banyak membantu Umno ketika PRN.

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan terakhirnya adalah keputusan mahkamah.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pihak perlu menghormati serta mengambil tindakan yang boleh disifatkan sebagai menghina mahkamah.

Namun sebagai rakyat, ahli, dan pemimpin parti Umno, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, keputusan tersebut tidak menghalang mereka untuk terus bersama perjuangan Najib dalam parti dan kes yang sedang dibicarakan.

"Memang keadilan itu suatu perjalanan yang panjang. Malah terdapat ungkapan bahawa there are three types of truth - your truth, my truth, and the truth. Truth Is God's Word.

"Marilah kita terus bersatu hati, bersolidariti bersama Najib Tun Razak. Jangan putus asa. Terus tabah dan terus berjuanglah bersama kita. Terlalu banyak jasa dan sumbangan beliau telah berikan untuk Umno, BN, dan kerajaan BN yang tak akan dapat dilupuskan dalam sejarah negara," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah 22 bulan, Najib berjaya menangkis serangan terhadap Umno ketika parti itu diperlekehkan dan cuba dikuburkan oleh musuh politik.

Di platform media sosial Facebook, Ahmad Zahid berkata, bekas Perdana Menteri itu berjaya menjawab serangan pembangkang dan musuh dalam selimut dengan data dan fakta.

Bahkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, Ahmad Zahid berkata, Najib turut berkampung dan berkempen membantu kemenangan Umno, BN.

"Perlu diakui media sosial FB Najib sangat berpengaruh di negara ini. Beliau ialah Raja Media Sosial dan berjaya membantu memulihkan Umno lebih cepat, hingga mereka yang pernah menjauhi dan memperlekeh Umno (yang) sebelum ini dilihat, bukan sahaja mahu mendekati, malah mahu menguasai Umno pula sekarang.

"Insya-Allah kita di setiap akar umbi cawangan dan bahagian Umno dan BN akan terus bersama Najib Razak dan susah senang bersama. Kita bukan kacang lupakan kulit. Itulah persahabatan dan perjuangan sejati kita dalam Umno,” tegas Ahmad Zahid lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram