Elak rakyat keliru, wartawan wanita berperanan sebar berita benar — Ismail Sabri


  • Primer
  • Selasa, 16 Ogos 2022

Ismail Sabri bersama ahli Pertama yang hadir di majlis minum petang sempena sambutan ulang tahun ke-51 persatuan itu di ibu negara, Isnin. — Bernama

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tidak benar ekonomi negara semakin teruk seperti mana disebarkan sesetengah pihak kerana buktinya menunjukkan perkara sebaliknya

Malahan, kata Perdana Menteri, tindakan itu sengaja dilakukan kerana mahu mencetuskan kekeliruan masyarakat dengan mendakwa kerajaan sekarang gagal.

Katanya, golongan itu mendakwa kononnya ekonomi merudum, rakyat tidak mampu berbelanja dan pengangguran meningkat, selain merancang protes dan 'flashmob'.

"Perkara ini banyak diperkatakan di media sosial tapi sebenarnya apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Oleh itu, melalui puan-puan (wartawan wanita), berita benar perlu disebarkan bagi memastikan rakyat tidak keliru," katanya pada majlis minum petang sempena ulang tahun ke-51 Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama), di ibu negara, Isnin.

299677081_121912410589082_6670500064758084405_n

Ismail Sabri memotong pulut kuning simbolik sambutan Ulang Tahun Ke-51 Pertama sambil disaksikan Rina (dua dari kanan) di majlis minum petang di ibu negara, Isnin.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Pengerusi Bernama, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Presiden Pertama, Sariha Mohd Ali.

Pada majlis itu juga, perdana menteri mengumumkan sumbangan RM300,000 kepada persatuan untuk membantu merealisasikan program Pertama.

Ismail Sabri berkata, prestasi ekonomi negara kini berada di landasan kukuh sekali gus mampu pulih serta berdaya tahan dan ia terbukti menerusi pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM).

"Prestasi suku kedua ekonomi negara tahun ini berkembang sebanyak 8.9 peratus, yang tertinggi dan terbaik di Asia Tenggara dan dalam kalangan negara utama dunia.

"Walaupun berdepan kenaikan inflasi, perbelanjaan isi rumah dan perniagaan kekal meningkat dan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Malah berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan rekod baharu pada Mei lalu dengan merekodkan RM129.8 bilion, sekali gus menjadi jualan tertinggi sejak 2013," katanya.

Jumlah dagangan Malaysia juga, katanya, melepasi paras RM2 trilion buat pertama kali pada 2021, iaitu peningkatan 24.9 peratus, berbanding tahun sebelumnya yang disumbangkan hasil prestasi memberangsangkan bagi eksport domestik dan eksport semula.

Beliau menjelaskan, sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik, kadar pengangguran kembali turun ke paras seperti sebelum pandemik Covid-19, iaitu 3.8 peratus, manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bersih bagi 2021 adalah RM48.1 bilion.

"Jumlah aliran FDI bersih bagi 2021 itu mengatasi tahun sebelum wabak COVID-19. Malah, pada suku pertama tahun ini pula, nilainya adalah hampir separuh bagi keseluruhan 2021, iaitu melebihi RM24 bilion," katanya.

Selain itu, kata Perdana Menteri, Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual yang diluluskan bukan hanya untuk melindungi wanita sebaliknya semua gender.

Katanya, seperti yang telah dipersetujui, semua gender boleh memanfaatkan undang-undang ini yang akan dikuatkuasakan secara berperingkat.

"Setelah sekian lama kaum wanita mendesak, akhirnya kerajaan ini meluluskan Rang Undang-undang Antigangguan Seksual untuk melindungi kepentingan bukan sahaja wanita tetapi semua gender," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram