Murid Tahun Enam maut disambar petir ketika guna telefon bimbit di Gua Musang


  • 112
  • Selasa, 16 Ogos 2022

Mangsa, Nur Asyqin Qistina, maut disambar petir ketika sedang menggunakan telefon bimbit pada Isnin. — Facebook

SEORANG murid perempuan maut selepas dipercayai disambar petir ketika sedang bercakap menggunakan telefon bimbit dengan rakannya di Kampung Baru Sungai Raya Luar di Gua Musang, Kelantan pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, mangsa, Nur Asyqin Qistina M. Nor Zawawi, 12, yang merupakan murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, ditemui terbaring di atas tilam bilik tidurnya dengan kesan terbakar di lengan.

Menurut bapa mangsa, M. Nor Zawawi Awang, ketika kejadian, dia baru selesai solat Asar di surau hadapan rumahnya sebelum terdengar bunyi dentuman petir yang kuat.

51660601522_mautdisambarpetir

Bapa mangsa, M. Nor Zawawi Awang terkejut selepas melihat anaknya terbaring di atas tilam dengan kesan terbakar di lengan. — Astro Awani

Katanya, ketika kejadian turut berlaku hujan renyai.

"Selepas solat asar berlaku blackout elektrik di rumah.

"Saya kembali ke surau dan isteri panggil balik, anak dalam bilik tak sedar diri dan saya tengok dia pengsan ada sedikit kesan terbakar dekat lengan.

"Saya pun terus bawa ke klinik Kuala Betis dan disahkan meninggal," katanya.

Jelasnya, mayat anaknya dibawa ke Hospital Gua Musang, Kelantan untuk dibedah siasat sebelum proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kuala Betis. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram