Nunez sendiri tahu, memang patut kad merah — Klopp


  • Podium
  • Selasa, 16 Ogos 2022

Aksi Nunez menanduk pihak lawan menyebabkan pemain itu dilayangkan kad merah. — Agensi

LIVERPOOL terpaksa bekerja keras selepas beraksi dengan 10 pemain untuk mengelak kekalahan pertama di depan penyokong sendiri sejak 2017 selepas Darwin Nunez dibuang padang.

Bertemu dengan Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Selasa, keputusan seri 1-1 dengan Luis Diaz menyelamatkan satu mata buat The Reds selepas Wilfried Zaha membuka jaringan buat Palace pada babak pertama.

Selepas dua perlawanan musim ini, Liverpool kini ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Manchester City dengan pemain baharu yang dibeli dengan harga RM339.86 juta itu perlu dipersalahkan.

Nunez meledak dalam dua penampilan pertama berdepan City dalam Perisai Komuniti dan menyelamatkan satu mata ketika masuk sebagai pemain gantian apabila seri 2-2 di tempat lawan berdepan Fulham, minggu lalu.

Namun pemain Uruguay itu menanduk Joachim Andersen sebelum sejam perlawanan menyebabkan dia berdepan cabaran besar dalam perlawanan.

"Sekarang dia sendiri sudah tahu.

"Sudah tentu ia kad merah. Dia diprovokasi, tetapi itu bukan cara dia sepatutnya membalas," kata Jurgen Klopp apabila ditanya jika tindakan Nunez itu menyebabkan rakan sepasukannya kecewa.

Liverpool memperoleh gol penyamaan menerusi Diaz dan Klopp berkata, dia bangga apabila 10 pemainnya bangkit selepas minggu yang sukar disebabkan krisis kecederaan awal musim.

Roberto Firmino, Thiago Alcantara, Diogo Jota, Joel Matip dam Ibrahima Konate semuanya diketepikan manakala Joe Gomez hanya cergas untuk masuk dari bangku simpanan.

Nat Phillips terpaksa membuat penampilan pertama dalam Liga Perdana sejak hari terakhir musim 2020/21 di bahagian pertahanan tengah manakala Klopp tiada pilihan di bahagian serangan pada penghujung aksi.

"Perasaan sebenar saya rasa ada ketika ini ialah bangga.

"Dengan persiapan minggu ini, ia sesuatu yang menakjubkan. Ia seperti ada ahli sihir dalam rumah, setiap kali ada seseorang menghadapi masalah," kata Klopp.

Sebelum ini, Klopp kecewa dengan permulaan perlahan pasukannya menyebabkan mereka kehilangan dua mata pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang pasukan baru dipromosi, Fulham.

Kali ini, Liverpool lebih mengancam, tetapi gagal mengubah dominasi perlawanan kepada jaringan gol.

James Milner, Nunez dan Mohamed Salah harus dipersalahkan kerana gagal menyempurnakan peluang keemasan, manakala percubaan Harvey Elliott dihalang Andersen. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram