Nafuzi Zain, Nidzam Jamil 'terpaksa bermusuhan', TFC waspada misi balas dendam Selangor


  • Podium
  • Selasa, 16 Ogos 2022

Antara aksi pertemuan antara TFC dan Selangor FC pada April lalu yang berpihak kepada TFC dengan kemenangan 2-0. — Bernama

AKSI Liga Super antara Terengganu FC (TFC) dengan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Rabu bakal mempertemukan dua sahabat baik atas padang.

Pertembungan itu menyaksikan dua ketua jurulatih muda, Nafuzi Zain yang sudah tiga musim bersama skuad Penyu, dan Nizdam Jamil yang menggalas tugas sebagai ketua jurulatih interim The Red Giants, susulan peletakan jawatan Michael Fitchtenbeiner berikutan prestasi kurang memberangsangkan pasukan itu musim ini.

Menurut Nafuzi, perlawanan itu sememangnya ditunggu-tunggu dan dijangka bakal menguji kemampuan anak buahnya dalam mengekalkan momentum kemenangan selepas kejayaan menewaskan Sarawak United FC Sabtu lepas.

"Bertemu Selangor antara perlawanan yang saya nantikan kerana ketika saya pertama kali menjadi ketua jurulatih interim TFC pada 2019, saya bertemu Nidzam yang ketika itu membimbing skuad Felda United FC.

"Dan kali ini sekali lagi kami akan bertemu juga dalam perlawanan pertama Nidzam sebagai caretaker, tetapi kali ini bersama Selangor," katanya.

Di sebalik keterujaan tersebut, jurulatih kelahiran Kelantan berusia 44 tahun itu tidak menafikan agak terbeban dengan masalah kecederaan yang masih membelenggu anak buahnya.

Nafuzi berkata, situasi itu pasti dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak lawan bagi melancarkan misi 'balas dendam' setelah tewas di tangan pasukannya (0-2) pada pusingan pertama Liga Super April lepas.

"Memang betul kita belum pernah tewas di tangan Selangor FC sejak 2019. Tetapi itu bukan jaminan untuk terus selesa dengan rekod tersebut.

"Sebagai sahabat baik, saya percaya Nidzam mempunyai strateginya sendiri untuk mencabar kami (TFC). Apatah lagi ini adalah tugas pertamanya sebagai ketua jurulatih interim dan beliau pastinya bekerja keras untuk melakar kejayaan sendiri," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram