TINDAKAN seorang bapa yang nekad terjun ke dalam kolam buatan, dipercayai berdekatan pusat perabot terkemuka di Batu Kawan, Pulau Pinang untuk menyelamatkan anak perempuannya, mendapat pujian netizen.
Menerusi perkongsian salah seorang pengunjung putriellyn melalui aplikasi TikTok, dia memaklumkan kejadian itu berlaku apabila kanak-kanak tersebut tiba-tiba terjatuh ke dalam kolam itu.
Kanak-kanak perempuan yang memakai gaun bewarna kuning itu pada mulanya dilihat berdiri berdekatan dengan pagar jambatan kolam itu.
Tiba-tiba, budak itu dipercayai terperosok jatuh ke dalam kolam sebelum diselamatkan bapanya.
Turut kedengaran suara: "Ya ALLAH jatuh!" dalam video itu sebelum lelaki terbabit segera terjun ke kolam menyelamatkan budak berkenaan.
Dalam video berasingan pula menunjukkan lelaki tersebut mendukung anaknya ke tebing kolam tersebut.
Lelaki tersebut juga kelihatan cuba mententeramkan anaknya.
Rata-rata warganet memberikan pelbagai reaksi terhadap situasi yang berlaku dan ramai memuji tindakan lelaki tersebut yang pantas menyelamatkan anaknya.
Menurut Haniff Njang, tindakan ayah kanak-kanak tersebut bagaikan seorang adiwira.
"Ayah adalah superhero bagi setiap anak-anaknya. Alhamdulillah selamat," katanya.
"Bagusnya ayah budak itu terus bertindak demi nak selamatkan anak. Alhamdulillah, kadang-kadang, kita sebagai ibu bapa mencuba sebaik mungkin demi keselamatan anak," kata moon.othman.
Namun, ada juga yang mempertikaikan jarak di antara pagar tersebut yang agak berbahaya untuk kanak-kanak.
"Macam mana orang yang buat pagar ini? Jarak pagar itu hanya selamat untuk orang dewasa tetapi bukan untuk budak-budak. Boleh jatuh semua," persoal Kal.
Belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini.
Majoriti sedang berusaha menghubungi keluarga mangsa bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram