Ibarat magnet bintang Harimau Malaya ke Sabah FC, penyokong nekad 'rantai' OKS


  • Podium
  • Selasa, 16 Ogos 2022

Aura Kim Swee mampu menarik pemain-pemain bintang kebangsaan untuk menyertai skuad Sabah FC selepas ini. — Agensi

TIADA siapa yang mampu menidakkan sentuhan magis Datuk Ong Kim Swee terhadap kelab Sabah FC sehingga mereka mampu berdiri megah di tangga kedua Liga Super musim ini setakat ini.

Sejak menyertai Sabah pada Oktober 2021, Kim Swee menjadi daya penarik utama tiga pemain kebangsaan memilih untuk menyarung jersi The Rhinos bagi saingan Liga Malaysia 2022.

Pemain-pemain yang dimaksudkan adalah pemain tengah berpengalaman, Baddrol Bakhtiar serta pemain pertahanan, Rizal Ghazali dan Dominic Tan.

Kim Swee juga dikatakan bakal menarik lebih ramai pemain kebangsaan ke dalam barisan pemain Sabah FC dengan tujuan meletakkan kekuatan pasukan itu setanding pendahulu liga, Johor Darul Takzim musim depan.

Tidak mahu sentuhan itu hilang dan berpatah balik semula ke keadaan sebelum kedatangan Kim Swee, penyokong Sabah mahu pengurusan terus mengikat jurulatih berusia 51 tahun berkenaan dalam tempoh yang lebih lama.

Harith Adam menerusi laman Facebook Sabah Supporters menyuarakan kebimbangannya terhadap situasi Sabah sekiranya Kim Swee angkat kaki selepas ini.

"Rasanya berapa lama lagi Kim Swee bersama Sabah FC? Kemasukan Kim Swee ke Sabah FC membawa pengaruh yang kuat dan memberi kesan positif terhadap pasukan Sabah FC.

Menurut penyokong, satu sahaja percaturan Kim Swee yang tidak menjadi iaitu pengambilan Embalo.Agensi

"Jika beliau bertukar angin, adakah Sabah FC masih konsisten? Kim Swee memiliki kelebihan yang mana dia sangat tahu mana-mana pemain lokal yang berkualiti di Malaysia.

"Ramai pemain yang mahu berlatih di bawah kendaliannya. Harap-harap beliau kekal dan dikenali sebagai bekas pemain legenda Sabah dan sebagai jurulatih legenda Sabah FC," katanya.

Lawrence Nonon menambah: "Kim Swee memang bawa banyak perubahan kepada Sabah FC, tapi ada satu sahaja keputusan tidak tepat yang mencacatkan prestasi dia, Jose Embalo," katanya.

Adi Bongsu pula berkata, "Bagi aku, Kim Swee memilih Sabah FC setelah 'berpisah' dengan FAM adalah atas dasar minat dia terhadap pasukan ini.

"Dulu, dia pun pemain Sabah FC sekitar 1994 sehingga 1998. Lagipun, kalau tak silap isteri Kim Swee pun orang Sabah kan?," dakwanya.

Sebagai rekod, sebelum kedatangan Kim Swee, Sabah FC sekadar mencatat empat kemenangan dan tujuh keputusan seri untuk menduduki kedudukan kesembilan daripada 12 pasukan Liga Super pada musim 2021 dengan 19 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram