"Saya rasa lucu kerana walaupun 209 Ahli Parlimen yang menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti merupakan antara mereka yang bersekongkol dengan pengkhianat dan 'katak' yang melompat parti".
Itu yang dinyatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas mengenai kelulusan undang-undang itu dalam satu video di akaun Facebook miliknya.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu, beliau bagaimanapun rasa lega bila undang-undang itu diluluskan di Parlimen.
"Saya rasa lega kerana dalam memorandum persefahaman yang kami tandatangani dengan Kerajaan Persekutuan ada menyatakan keperluan untuk meluluskan undang-undang anti lompat parti.
"Ini adalah kemenangan untuk rakyat kerana selepas ini tidak akan berlaku lagi 'lompat parti' kerana ugutan, wang atau jawatan.
"Selepas ini pengundi harus yakin dengan siapa yang mereka pilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana keputusan itu tidak akan bertukar," katanya.
Terdahulu, Dewan Rakyat pada Khamis sebulat suara meluluskan RUU Anti Lompat Parti.
Untuk rekod, "Langkah Sheraton" yang diadakan pada Februari 2020 telah mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan selepas beberapa Ahli Parlimen keluar parti untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.
Susulan itu, kerajaan negeri Melaka, Kedah, Perak dan Johor yang sebelum ini diterajui Pakatan Harapan juga tumbang akibat pembelotan yang berlaku.
Pilihan raya Sabah pada Julai 2020 juga tercetus ekoran pembelotan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menarik sokongan mereka kepada kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram