Polis siasat kes wanita dakwa anak autistik didera guru terapi di Skudai


  • 112
  • Jumaat, 29 Jul 2022

Kesan lebam di bahu kiri dan bekas tamparan di pipi seorang kanak-kanak autisme yang didakwa dipukul serta dicubit oleh staf pusat terapi di Skudai.

POLIS sedang menyiasat kes seorang ibu yang mendakwa anak lelakinya yang menghidap autisme didera guru di sebuah pusat terapi di Skudai, Johor seperti tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, kesemua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pada Khamis, pihaknya mengesan satu hantaran seorang pemilik akaun Facebook ‘Cik Puan Zetty’ berhubung kes berkenaan.

"Hasil semakan mendapati isu yang ditularkan oleh pemilik akaun itu adalah satu kes yang masih dalam proses siasatan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

"Selepas siasatan awal terhadap pengaduan itu, kanak-kanak tersebut dirujuk ke Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kanak-kanak itu juga dirujuk ke Hospital Sultan Ismail bagi mendapatkan penilaian khusus oleh pakar kanak-kanak terhadap status kesihatannya.

Rupiah berkata, polis akan mendapatkan laporan perubatan mangsa secara rasmi sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menerusi hantaran itu, wanita tersebut mendakwa anaknya dimasukkan ke sebuah pusat terapi di sebuah institut pengajian tinggi di Skudai sejak November 2019 dan kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 7 Julai lepas.

Wanita itu mendakwa anaknya yang berusia enam tahun didera oleh guru terapi sehingga mengalami kesan lebam di bahu kiri yang berbentuk jari selain kesan cubitan di dada. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram