The Pocket Rocketman bakar semangat atlet, kongsi 5 tip raih kejayaan di Komanwel Birmingham


  • Podium
  • Jumaat, 29 Jul 2022

Kontinjen Malaysia mengenakan pakaian kebangsaan semasa acara pembukaan Komanwel Birmingham 2022 di Stadium Alexander, Perry Barr, pada Khamis. — Bernama

SUKAN Komanwel Birmingham 2022 bermula secara rasminya selepas upacara pembukaan gilang-gemilang di Stadium Alexander, Perry Barr di Birmingham pada Jumaat.

Kontinjen Malaysia akan mempertaruhkan 104 atlet yang menyertai 14 jenis sukan termasuk empat sukan para.

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang tidak ketinggalan menitipkan kata semangat buat para atlet yang terlibat dalam temasya antarabangsa itu.

Menerusi satu hantaran Facebook pada Jumaat, beliau berkongsi lima tip untuk para atlet memburu kejayaan di temasya yang berlangsung setiap empat tahun itu.

"Lima tip untuk mereka berjaya di temasya Komanwel Birmingham 2022.

"Gabung kekuatan fizikal dan mental, tunjukkan semangat kesukanan yang tinggi, berjuang ke titisan darah terakhir, guna taktik dan strategi yang tepat serta miliki mentaliti juara," katanya.

Beliau percaya semua atlet selain pegawai dan kakitangan daripada kontinjen Malaysia yang tampak segak dan bergaya bersedia untuk berjuang membawa balik sekurang-kurangnya enam pingat emas.

"Selamat berjuang kepada wira dan wirawati negara!," katanya ringkas.

Malaysia menyasarkan enam pingat emas bersandarkan kepada barisan atlet negara yang mengambil bahagian pada temasya Komanwel kali ini, bagi menyamai rekod dilakar pada edisi 2014 di Glasgow.

Tanpa Azizulhasni, skuad berbasikal kebangsaan ke Birmingham terdiri daripada tiga atlet lelaki dan tiga wanita, gabungan pelumba berpengalaman dan baharu.

Pelumba basikal lelaki ialah Shah Firdaus, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Muhammad Ridwan Sahrom manakala wanita pula ialah Anis Amira Rosidi, Nurul Aliana Syafika Azizan dan bakat muda Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Selain itu, nama-nama seperti Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Siti Zalina Ahmad-Emma Firyana Saroji, Muhamad Aznil Bidin, Koi Sie Yan dan Bonnie Bunyau Gustin pasti menjadi tumpuan.

Temasya 12 hari itu akan bermula secara rasmi pada 7 malam (2 pagi Jumaat waktu Malaysia) yang berlangsung sehingga 8 Ogos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram