TRAGEDI menimpa dua penari ketika persembahan band muzik Cantopop, Mirror apabila skrin light-emitting diode (LED) bersaiz besar yang digantung pada kerangka siling pentas jatuh menghempap mereka.
Rakaman kejadian yang berlaku di Hong Kong Coliseum tersebut tersebar memaparkan anggota band Cantopop itu, Anson Lo dan Edan Lui sedang beraksi dengan sekumpulan penari sebelum insiden malang tersebut berlaku.
Sebuah video tular di media sosial jelas memaparkan skrin berkenaan menimpa tepat ke atas kepala dan badan salah seorang penari sebelum terjatuh atas seorang penari lagi.
Susulan insiden itu, pengurus Mirror, Ahfa Wong segera naik ke pentas untuk memohon maaf dan meminta penonton beredar sehingga mencetuskan suasana panik.
Menurut laporan media tempatan, dua penari lelaki berkenaan dibawa ke hospital Queen Elizabeth dan dilaporkan masih berada dalam keadaan sedar.
Hasil rawatan mendapati penari pertama mengalami kecederaan leher berada dalam keadaan serius, manakala seorang lagi berada dalam keadaan stabil meskipun terdapat kecederaan di kepala.
Sepanjang tahun lalu, Mirror telah muncul sebagai kumpulan pop Kantonis yang paling popular dan dikatakan menghidupkan semula senario muzik tempatan Hong Kong.
12 siri konsert terbaharu yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 25 Julai hingga 6 Ogos di Coliseum berprestij itu menerima sambutan hangat apabila tiket habis dijual.
Satu video yang tular di media sosial memaparkan skrin LED bersaiz gergasi jatuh menghempap salah seorang penari. — Agensi
Bagaimanapun, siri konsert tersebut dibelenggu oleh kesilapan teknikal sejak debut pada hari Isnin, menyebabkan peminat mempersoalkan sama ada persembahan itu selamat.
Pada malam Selasa, seorang ahli Mirror, Frankie Chan, jatuh kira-kira satu meter dari tepi pentas, namun dia dilaporkan hanya mengalami lebam di lengan kirinya.
Gambar-gambar selepas kejadian Khamis menunjukkan polis, paramedik dan kru produksi segera mengerumuni pentas.
Setakat ini, syarikat hiburan di belakang Mirror tidak mengeluarkan sebarang komen.
Lebih 10,000 menandatangani petisyen menggesa penganjur untuk menjaga soal keselamatan kumpulan Mirror dan penari dengan lebih baik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram