'Caion main acuh tak acuh, hatinya mungkin sudah di kelab lain'


  • Podium
  • Jumaat, 29 Jul 2022

Prestasi Caion yang semakin merundum kebelakangan ini dikaitkan dengan keinginannya untuk bermain dengan kelab lain. — Majoriti

KEKALAHAN Selangor FC di tangan Sri Pahang 0-2 pada aksi saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Pahang, Rabu lalu memberikan tamparan hebat buat penyokong skuad Gergasi Merah itu.

Dua gol pada separuh masa pertama sudah cukup buat skuad Tok Gajah untuk mengutip tiga mata walaupun pasukan Merah Kuning kelihatan ligat menyamakan kedudukan.

Kekalahan itu juga menyaksikan skuad kendalian Michael Feichtenbeiner berada di kedudukan keenam Liga Super dengan mengutip 16 mata selepas mengharungi 12 perlawanan.

Antara pemain sama yang diturunkan skuad Selangor ketika bertemu Pahang FC ialah Samuel Somerville, Quentin Cheng, Yazan Al-Arab, Caion de Sousa, Hyuri Henrique, Fazly Mazlan, Alex Agyarkwa, Sharul Nazeem dan Brendan Gan.

Antara aksi paling ralat buat pemain adalah cubaan Yazan memanfaatkan kesilapan Samassa dengan membuat hantaran silang dihalang oleh Caion sendiri sehingga menyebabkan mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Melihat kepada kesilapan tersebut, penyokong Selangor FC, Muhammad Rafi Nuridjal berharap pasukan Selangor tidak lagi terlalu meletakkan harapan pada Caion sebagai penyerang mereka.

Menurutnya, Caion kelihatan kurang menyengat pada beberapa permainan belakangan ini dan berkemungkinan ada kaitan dengan hasratnya untuk bermain di kelab lain.

"Samuel masih relevan untuk permainan menentang Negeri Sembilan, Ahad nanti. Pada bahagian pertahanan, turunkan Quentin, Sharul, Harith (Haiqal) dan Zikri (Khalili).

Selangor FC

Feichtenbeiner beranggapan anak buahnya gagal menterjemahkan semua peluang yang diperoleh kepada jaringan gol sekali gus menyebabkan misi mencatatkan kemenangan tidak berjaya. — Facebook/Selangor FC

"Yazan tu gantikan dengan Harith. Tolong tenangkan fikiran Shahrul supaya tidak bercelaru. Zikri dan Azrin pula bagi peluang mereka turun agar bakat mereka boleh digilap.

"Bahagian tengah pula, kita patut turunkan Brendan, Alex dan Mukhairi. Tiga orang ini saja yang biasa turun dan kuat usaha atas padang walaupun Mukhairi selalu gentel bola.

"Barisan penyerang pula kita turunkan Aliff Izwan, Shahrel Fikri dan Danial Asri. Aliff ini selalu main skuad utama bawah 19 (B-19).

"Sudah-sudahlah harapkan gandingan Hyuri-Caion. Hyuri tu bagus tapi nampak penat. Caion? Entahlah. Mungkin kontrak tinggal kurang enam bulan dan dah tandatangan kontrak dengan pasukan baharu agaknya," katanya di ruang Facebook Kelab Penyokong Selangor.

Kenyataannya itu disokong oleh Aziq Nabil Jamaluddin yang bersetuju dengan barisan yang dicadangkan Muhammad Rafi untuk diketengahkan pada Ahad ini.

"Saya setuju barisan ini lawan Negeri Sembilan nanti. Caion tu rehatkan sahaja dahulu. Nampak merundum sahaja. Hyuri lagilah. Goodluck!", jelasnya.

Muhammad Rafi membalas, "Sebenarnya lebih bengang tengok Caion. Masa Piala FA lawan Sabah tu dia tak bersemangat. Tapi kalau dia turun juga dia minggu ini, makin nampaklah belangnya," tambahnya.

Sebagai rekod, penyerang import dari Brazil, Caion diserap masuk dalam skuad Selangor FC bagi menggantikan posisi penggempur utama mereka, Ifedayo Olusegun yang berpindah ke Melaka United.

Menurut khabar angin, Caion dikatakan menyimpan hajat untuk mengikuti jejak Ifedayo untuk menyertai skuad Sang Kencil itu.

Sepanjang musim ini, Caion telah menyumbangkan 14 gol buat pasukan Selangor dalam 15 penampilannya bersama Selangor FC dalam saingan Liga Malaysia, 10 gol di Liga Super dan empat gol di Piala FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram