Lima ditahan tanam ganja dalam kebun sayur di Sibu


  • 112
  • Jumaat, 29 Jul 2022

Sebahagian daripada pokok ganja yang dirampas pihak berkuasa. — Bernama

TAKTIK lima individu menggunakan kebun sayur untuk menyembunyikan kegiatan penanaman ganja mereka di Sungai Bidut di Sibu, Sarawak terbongkar dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sibu pada Rabu lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, kelima-lima individu berumur 29 hingga 59 tahun itu terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing.

Beliau berkata, polis turut merampas 34 pokok ganja berketinggian antara 0.6 meter dan 2.13 meter dianggarkan bernilai RM56,346 pada serbuan antara pukul 7.30 pagi hingga pukul 3.30 petang itu.

"Sebuah kereta bernilai RM40,000 yang digunakan suspek disita di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hanya lelaki tempatan berkenaan didapati positif terhadap dadah jenis tetrahydnocarrabinol.

Mancha berkata, kesemua mereka direman dua hari bermula Khamis bagi siasatan mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lelaki tempatan itu turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama kerana mengambil dadah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram