Jangan main politik kalau 'hati tisu'


  • Primer
  • Isnin, 11 Jul 2022

Tun Mahathir Mohamad menegaskan seseorang itu perlu mempunyai hati yang kental bila menyertai dunia politik.

JANGAN berangan untuk menyertai dunia politik jika mempunyai hati yang terlalu lembut.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika seseorang itu mahu menjadi ahli politik, jiwanya mesti kuat walaupun dikritik, difitnah dan dibenci rakyat.

Ini adalah nasihat Dr Mahathir lebih setengah abad berada dalam dunia politik.

Beliau juga berkata, mereka yang ingin menjadi ahli politik mesti bersedia untuk mengadaptasi idea mereka serta terbuka untuk mengubah idea itu mengikut situasi.

"Selepas menyertai politik, saya dapati tak semua orang akan bersetuju dengan idea ahli politik.

"Sebagai contoh, kebanyakan orang mahukan Jambatan Pulau Pinang tetapi ada juga yang menolak idea itu dan mengatakan tol akan mahal. Saya mendengar dan menerima pandangan mereka.

"Tetapi, pada masa sama, saya fikir mempunyai jambatan adalah baik untuk perhubungan antara pulau dan tanah besar, jadi saya teruskan dan sebahagian daripada mereka yang tidak menyokongnya akhirnya bersetuju dengan saya.

"Oleh itu, kita harus bersedia untuk dikritik sebagai ahli politik dan tidak boleh mengharapkan sokongan 100 peratus, kerana akan sentiasa ada orang yang tidak bersetuju," katanya.

Mengakui kebal dengan semua kritikan, fitnah dan tohmahan yang dilemparkan musuh politik, negarawan itu menambah bahawa beliau bersyukur kerana tidak pernah menganggapnya sebagai beban.

Katanya, disebabkan itulah mereka yang memfitnahnya sebagai orang kaya diminta untuk membuktikan bahawa beliau telah mengumpul kekayaan semasa menjadi Perdana Menteri.

"Ada yang kata saya seorang jutawan dengan berbilion ringgit di Switzerland, Taiwan. Apa bukti yang mereka ada?

"Saya tidak mempunyai wang seperti itu kerana saya menjalani kehidupan sederhana, bukan di rumah seperti istana, tetapi orang masih mengatakan saya kaya.

"Saya tidak ada wang, hanya pencen saya," katanya sambil menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu.

Katanya, apa yang membuat beliau gembira adalah bila melihat projek seperti Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Menara Berkembar Petronas dan Jambatan Pulau Pinang direalisasikan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram