SERING kali kita melihat banyak negara-negara luar sudah mula mempunyai liga bola sepak elektronik mereka tersendiri dan adakah anda tahu bahawa Malaysian Football League (MFL) juga mempunyai liga bola sepak elektronik yang dipanggil eMFL.
eMFL sudah memasuki tahun ketiga sejak diperkenalkan pada 2020 sehingga 2022, eMFL yang menjalin kerjasama dengan Gamesbond International, menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM50,000.
Kejohanan ini menawarkan satu slot pemain dari pasukan pemenang layak bertanding di FGS Global Series Playoff dan ini juga menyaksikan MFL menjadi satu-satunya yang memiliki liga elektronik di rantau Asia Tenggara.
Cabaran terbesar Gamesbond adalah mendapatkan sokongan pelbagai pihak bagi membangunkan sukan elektronik FIFA konsol di negara ini. — Facebook eMFL
Menurut Pengarah Urusan Gamesbond, Muhammad Fazli Razak, eMFL mula diperkenalkan sejak 2020 dan ia merupakan sebuah liga yang mendapat pengiktirafan EA Sports.
"EA Sports ialah penerbit bagi permainan video sukan, mereka mengeluarkan siri permainan seperti NHL, NBA Live dan Madden NFL dan yang paling mendapat sambutan ialah permainan FIFA.
"eMFL Liga Super adalah liga rasmi FIFA di Malaysia yang diiktiraf oleh EA Sports dan liga ini satu-satunya yang memberikan slot untuk bertanding ke kejohanan antrabangsa seterusnya ke kejohanan FIFAe World Cup," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, walaupun Gamesbond dan MFL sudah berkerjasama bagi mewujudkan sebuah platform liga bola sepak elektronik tetapi masih ada cabaran yang perlu ditempuhi untuk mendapatkan sambutan komuniti tersebut.
"Cabaran terbesar Gamesbond adalah untuk mendapatkan sokongan dari pelbagai pihak bagi membangunkan sukan elektronik FIFA konsol di negara ini.
"Namun, sejak kebelakangan ini lebih banyak pihak mula membuka mata dan membantu menaikkan komuniti FIFA di dalam negara," ujarnya.
Apabila ditanya mengenai kelebihan yang bakal diperolehi oleh kelab bola sepak liga tempatan jika menyertai kejohanan FIFAe ini.
Muhammad Fazli berkata, jika pasukan bola sepak tempatan menyertai kejohanan ini ia bagus untuk membantu mencipta nama kelab tersebut dalam industri bola sepak esports.
"Ianya dapat membantu kelab-kelab bola sepak tempatan mencipta nama dalam industri ini malah di peringkat antarabangsa dan ia juga merupakan salah satu cara untuk mempromosikan kelab bola sepak itu.
"Selain itu juga, ianya dapat membantu komuniti setempat untuk berkembang dan dapat melahirkan lebih ramai lagi pemain berkaliber di masa akan datang," katanya.
Menurut Fazli lagi, sejak tertubuhnya eMFL banyak pemain-pemain sudah mula tertarik untuk menyertai eMFL sebagai tiket untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
"Selepas tiga edisi eMFL Liga Super dijalankan, kita boleh lihat lebih banyak pemain mula berminat untuk menyertai kejohanan antrabangsa dan menempatkan diri di dalam ranking serantau.
"Ini adalah perkembangan positif dan ianya harus dikekalkan," jelasnya.
Wakil pasukan Melaka United menjadi juara saingan unifi eMFL Liga Super 2022. — Facebook eMFL
Terdahulu juara bagi kejohanan eMFL Liga Super 2022 iaitu wakil dari pasukan Melaka United berlepas ke London bagi menghadapi saingan FIFA Global Series Playoffs.