Kecoh, aiskrim tak cair walau dibakar lebih 50 minit


  • Benua
  • Ahad, 10 Jul 2022

Penularan video itu memburukkan lagi keadaan di mana orang ramai juga turut tidak berpuas hati terhadap kenaikan harga aiskrim di pasaran pada musim panas. — Agensi

BARU-BARU ini tular di media sosial apabila seorang lelaki membuat eksperimen terhadap sebuah jenama aiskrim paling mahal di China iaitu Zhong Xue Gao dengan membakar sebahagian pencuci mulut itu menggunakan pemetik api.

Apa yang lebih menghairankan, aiskrim perisa kelapa baysalt itu mengeluarkan asap serta berbau hangit selepas api menyentuh permukaan pencuci mulut itu.

Bahkan, aiskrim hermes itu tidak cair pada suhu 31 darjah selepas lebih 50 minit dibiarkan, malah ia masih dalam keadaan pejal dan tidak mencair seperti aiskrim biasa.

Perkara itu mencetuskan kerisauan dan tanda tanya dalam kalangan orang ramai mengenai kandungan yang digunakan dalam produk itu.

Difahamkan, pihak berkuasa mengambil tindakan dengan menyiasat produk tersebut selepas video itu tular di media sosial dan ditonton lebih 500 juta kali di aplikasi Weibo.

Difahamkan, Zhong Xue Gao mengeluarkan kenyataan di mana semua produknya menepati standard serta piawaian kualiti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negara China.

“Komponen utama aiskrim berperisa kelapa baysalt ialah susu, krim tunggal, pulpa kelapa, susu pekat dan susu tepung dan 40 peratus daripada aiskrim ini adalah bahan pepejal,” dakwa syarikat itu.

Jelasnya lagi, bahan ekstrak rumpai laut iaitu karagenan ditambah sebanyak 0.032 gram dalam produk aiskrim seberat 78 gram dan ia memenuhi dan mengikut undang-undang China.

Walaupun aiskrim Zhong Xue Gao yang terletak di Shanghai itu dijual pada harga kira-kira 20 yuan (RM13.21) untuk setiap bar, pencuci mulut tersebut sangat popular dan sering mendapat sambutan di bandar-bandar utama.

Penularan video itu memburukkan lagi keadaan di mana orang ramai juga turut tidak berpuas hati terhadap kenaikan harga aiskrim di pasaran pada musim panas sehingga sukar untuk mencari aiskrim yang dijual pada harga bawah 10 yuan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

China, Aiskrim, Tak Cair, Bahan Terlarang, Tular